Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Selepas 10 tahun berpisah, pasangan Wan Arnie Wan Yusoff dan Mohd Redha Jalil akhirnya disatukan semula sebagai suami isteri.

Mereka berdua selamat diijabkabulkan pada 20 Mac lalu di rumah adik Wan Arnie di Kampung Gong Nangka, Marang, Terengganu.

Kisah pasangan itu mendapat perhatian warganet selepas Wan Arnie, 37 berkongsi video mengandungi gambar ketika majlis pernikahannya dengan Mohd Redha, 38, di TikTok.

Menerusi kapsyen pada video berkenaan, Wan Arnie menceritakan secara ringkas kronologi hubungannya dengan suami.

Berkongsi kisah di sebalik penyatuan semula itu, Wan Arnie yang menetap di Klang, Selangor berkata, dia menerima lamaran suami untuk memperisterikannya semula demi kebahagiaan anak tunggal mereka, Adly Rafeq Mohd Redha, 11.

Menurutnya, bukan mudah untuknya membuat keputusan itu kerana dia dan suami sudah lama membawa haluan masing-masing selepas berpisah.

Namun, katanya, segala-galanya dipermudahkan berkat restu daripada kedua belah keluarga.

"Saya dan suami berkahwin kali pertama pada Januari 2009, namun perkahwinan kami tidak bertahan lama disebabkan masalah dalaman.

"Akhirnya, kami nekad berpisah pada Februari 2011 iaitu ketika Adly Rafeq baru berusia setahun.

"Biarpun bukan lagi suami isteri, kami masih berhubung selepas berpisah cuma hanya berkaitan anak dan tidak lebih daripada itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GAMBAR kenangan ketika hari perkahwinan Wan Arnie dan Mohd Redha pada 2009. FOTO Ihsan Wan Arnie Wan Yusoff
GAMBAR kenangan ketika hari perkahwinan Wan Arnie dan Mohd Redha pada 2009. FOTO Ihsan Wan Arnie Wan Yusoff

Menurut Wan Arnie, dia dan suaminya masing-masing ada menjalin hubungan dengan lelaki serta wanita lain selepas berpisah.

Malah, katanya, suami pernah memberitahu perancangannya untuk berkahwin dengan wanita pilihan pada 2018 tetapi tidak kesampaian.

"Dia ada berkongsi hasratnya untuk berkahwin lagi dan saya tiada masalah kerana sudah mempunyai teman lelaki pada ketika itu.

"Lagipun, saya sudah tiada hati dengan suami sejak kami berpisah tetapi pada akhir 2019, dia mohon maaf atas kesalahan pernah dilakukan dulu sebelum meluahkan hasratnya untuk mengahwini saya," katanya.

Katanya, lama juga dia ambil masa untuk pertimbangkan lamaran Mohd Redha itu dan sebelum membuat keputusan, dia ada meminta pendapat anak.

"Dia (anak) yang paling gembira apabila mendapat tahu saya akan berkahwin semula dengan ayahnya dan keputusan dibuat selepas saya berpisah dengan bekas teman lelaki," katanya.

WAN Arnie dan Mohd Redha meraikan hari bahagia dengan anak tunggal mereka, Adly Rafeq. FOTO Ihsan Wan Arnie Wan Yusoff
WAN Arnie dan Mohd Redha meraikan hari bahagia dengan anak tunggal mereka, Adly Rafeq. FOTO Ihsan Wan Arnie Wan Yusoff

Menurut Wan Arnie, dia menerima perkahwinan itu sebagai takdir Allah SWT untuk menyatukan semula keluarganya.

"Jujurnya, saya sudah memaafkan kesalahan suami kerana perpisahan sebelum ini mungkin disebabkan kami berdua masih muda.

"Kini, kami sudah matang dan saya terima suami sebagai jodoh yang ditentukan Allah serta yakin dia sudah berubah.

"Cuma, saya berharap suami berusaha memenangi hati saya semula dan sama-sama menjalankan tanggungjawab membesarkan anak sehingga dia dewasa," katanya.

WAN Arnie dan Mohd Redha selamat diijabkabulkan pada 20 Mac lalu. FOTO Ihsan Wan Arnie Wan Yusoff
WAN Arnie dan Mohd Redha selamat diijabkabulkan pada 20 Mac lalu. FOTO Ihsan Wan Arnie Wan Yusoff

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 8:55 PM