MAYMUN Nalubega dan Amar Haniff selepas diijabkabulkan pada 11 Disember lalu. FOTO Ihsan Maymun Nalubega Rozanita Naziwa.
MAYMUN Nalubega dan Amar Haniff selepas diijabkabulkan pada 11 Disember lalu. FOTO Ihsan Maymun Nalubega Rozanita Naziwa.
Redzuan Muharam


Shah Alam: "Macam patung Barbie versi hidup," itu antara pujian dilemparkan segelintir netizen terhadap Maymun Nalubega Rozanita Naziwa selepas tular video resepsi perkahwinan wanita itu dengan lelaki pilihannya di laman sosial baru-baru ini.

Video berkenaan tular selepas dimuat naik salah rakan sekolahnya, Zia Izazi Abdul Rashid di TikTok.

Jika diamati wajahnya, mungkin ada yang mengandaikan wanita mesra disapa May, 27, itu berasal dari luar negara.

Hakikatnya, May dilahirkan di Kuala Lumpur cuma mempunyai darah kacukan Uganda-Melayu.

Bercerita lanjut, May yang fasih berbahasa Melayu mengakui sangat terkejut apabila video ketika resepsi perkahwinan dengan suami, Amar Haniff Mohd Farid, 31, tular di laman sosial.

"Kami hanya dapat mengenai video itu dua hari selepas majlis pernikahan apabila ramai rakan memberitahu mengenainya.

"Alhamdulillah, ramai yang mendoakan, kami sangat menghargai mereka yang ikhlas dan sudi mendoakan.

"Semoga rumah tangga yang baru dibina ini dirahmatiNya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MAYMUN Nalubega Rozanita Naziwa dan Amar Haniff Mohd Farid diraikan keluarga pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Ihsan Maymun Nalubega Rozanita Naziwa
MAYMUN Nalubega Rozanita Naziwa dan Amar Haniff Mohd Farid diraikan keluarga pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Ihsan Maymun Nalubega Rozanita Naziwa

Berkongsi kisahnya, May yang bekerja sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Undang-Undang di sebuah agensi kerajaan berkata, dia berkenalan dengan suaminya ketika menuntut di Universiti Multimedia Melaka pada 2015.

"Pada awal perkenalan, saya tidak tertarik untuk menjalinkan hubungan dengan Amar (suami).

"Saya hanya ingin berkawan sahaja tetapi kesungguhan dan keikhlasannya membuka pintu hati saya untuk berkenalan dengan lebih rapat.

"Pada Amar, ia adalah cinta pandang pertamanya dan sejak awal perkenalan lagi, dia (Amar) memasang niat untuk menjadikan saya isterinya.

"Amar yang menyatakan hasrat untuk serius dalam perhubungan tapi saya mengambil tidak endah, namun pada awal Ramadan tahun ini, Amar mengambil keputusan untuk berjumpa ibu tanpa pengetahuan saya dan menyatakan hasratnya untuk merisik," katanya.

May bersyukur kerana kedua-dua belah keluarga menyambut baik hasratnya dan suami untuk mendirikan masjid.

Katanya, tiada bantahan langsung walaupun keluarga suaminya banyak bertanya soal latar belakang dan perihal dirinya sebelum ke peringkat lebih serius.

"Selepas dapat restu keluarga, saya dan Amar mengikat tali pertunangan pada 15 Mei lalu.

"Kami mengambil masa kira-kira tujuh bulan untuk buat persiapan perkahwinan dan tidak dinafikan agak mencabar kerana masa yang pendek dan masing-masing sibuk bekerja.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah segala persiapan dapat diuruskan dalam masa yang singkat.

"Ahli keluarga juga memudahkan urusan persediaan perkahwinan malah menghormati permintaan saya untuk tidak menerima wang hantaran," katanya.

Ditanya bagaimana mencipta keserasian, May mengakui tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan suami sejak awal perkenalan hingga kini iaitu selepas tinggal sebumbung.

"Walaupun saya ada darah kacukan tapi hampir keseluruhan hidup saya membesar dengan keluarga di Malaysia.

"Saya dibesarkan dengan budaya dan adat resam Melayu.

"Jadi, kami tiada isu berkenaan keserasian budaya dan ikutkan, tiada ahli keluarga saya mahupun suami yang ada sejarah kahwin campur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 8:00 PM