SUFIAN (kiri) dan Elfira. FOTO Blackpepperproduction
SUFIAN (kiri) dan Elfira. FOTO Blackpepperproduction
Najiy Jefri


Perkenalan pelakon Elfira Loy dengan penyanyi Sufian Suhaimi sejak Mac lalu berakhir dengan ikatan pertunangan pada 6 Oktober lalu di kediaman dramatis cantik itu di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.

Masa pantas berlalu. Lapan bulan tempoh perkenalan, Sufian dan Elfira akhirnya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada Mac depan sempena bulan kelahiran Elfira selain mendapat restu keluarga kedua-dua pihak.

Mengakui sudah bersedia menempuh fasa baru dalam hidupnya, Elfira memilih Mac kerana ia terlalu istimewa selain genap setahun perkenalan mereka.

“Mac sangat istimewa buat kami. Moga segala perancangan menuju gerbang perkahwinan dipermudahkan Ilahi.

“Pada 8 Mac lalu genap usia saya 23 tahun dan ketika itu dia tunggu di depan rumah saya dengan 23 kuntum ros. Saat itu juga dia menyatakan kesungguhan untuk serius dengan saya. Kiranya itu detik rasmi kami menjalin hubungan cinta. Lebih penting, dia tidak membelakangkan orang tua dalam soal ini.

“Ikutkan kurang enam bulan lagi kami akan bersatu. Mujur keluarga banyak membantu memudahkan urusan persiapan majlis bertunang dan selepas ini kahwin pula,” katanya.

Kata Elfira, mereka bagaimanapun belum menetapkan tarikh rasmi pernikahan kerana masih dalam perbincangan.

“Kami hanya merancang mengadakan majlis pada Mac. Sebaik mendapat lokasi dan segala persiapan berjalan lancar, barulah kami akan umumkan tarikh,” katanya.

Mengulas lanjut hari bahagia yang bakal berlangsung, Elfira berkata itu akan menjadi pengalaman baru untuk dirinya dan Sufian.

“Banyak yang perlu saya belajar dan sentiasa berfikiran positif berdepan hal berkaitan rumah tangga.

“Lagipun, amanah yang lebih besar terletak pada suami. Bagi saya tempoh perkenalan singkat ini adalah ketentuan dan restu ibu bapa penting yang mahu melihat anak mereka berjaya serta bahagia.

“Paling utama sekali adalah menerima pasangan kita kerana itulah kunci hubungan kami. Itu yang membuatkan kami teguh bersama ,” katanya.

ELFIRA bersama ibu (kanan) dan adiknya. FOTO Blackpepperproduction
ELFIRA bersama ibu (kanan) dan adiknya. FOTO Blackpepperproduction

Bagi Sufian pula, bakal bergelar suami pada usia muda adalah fasa penuh dugaan buat dirinya.

“Perkahwinan adalah perkara paling saya takut kerana perlu bersedia mental dan fizikal. Perkahwinan tidak hanya membabitkan dua individu semata-mata, tetapi penyatuan dua keluarga.

“Oleh itu, banyak persiapan yang perlu saya lakukan untuk menempuh fasa ini. Insya-Allah saya sedia memikul tanggungjawab ini dan menjaga Elfira dengan penuh rasa kasih sayang,” katanya.

Hargai media

Siapa sangka, tatkala selebriti lain memilih merahsiakan segala hal berkaitan hari bahagia daripada pengetahuan media dan umum, pasangan ini bersikap terbuka malah teruja berkongsi cerita.

Kata Elfira, sebagai selebriti yang sudah lama bertapak dalam industri seni, tidak salah untuknya berkongsi kisah peribadi kepada media yang banyak menyokong perjalanan karier seninya.

“Sejak kecil saya membesar dalam industri. Kehidupan saya banyak terdedah dengan asam garam dunia seni termasuk media yang tidak henti menyokong perjalanan seni saya. Media sudah saya anggap sebahagian daripada hidup saya. Jadi saya mahu rakan media turut menjadi saksi hari penting kami,” katanya.

Dugaaan

Sufian yang kini rancak mempromosikan single ketiga, Terasa Ada bersyukur apabila impiannya untuk menyunting Elfira sebagai suri hidup bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Di sebalik dugaan demi dugaan yang menguji keutuhan cinta mereka, Sufian nampak hikmah yang tersembunyi.

“Ujian yang dilalui membantu saya dan Elfira lebih memahami antara satu sama lain. Meskipun masih muda, Elfira matang dan tidak cepat melatah.

“Dia sering menasihati saya supaya tidak takut dengan dugaan. Dia banyak membantu membentuk saya menjadi insan yang lebih baik. Kami juga tidak melihat keputusan berkahwin pada usia muda sebagai satu masalah,” katanya.

Bagi Elfira, antara dugaan terbesar yang diharungi bersama Sufian adalah tersebarnya kisah sensasi membabitkan tunangnya itu sehingga tular.

“Dugaan pasti akan datang tanpa dapat ditahan. Ketika proses merisik timbul cerita Sufian mengganggu seorang wanita di akaun Bigo Live.

“Meskipun ia perkara besar, saya cuba tenang diri dan berjaya mengawal perkara itu dengan bijak,” katanya.

Majlis pertunangan pasangan romantik itu dihadiri kira-kira 100 orang tetamu itu menyaksikan Sufian menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh sebagai simbolik termeterai ikatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 6:47 AM