SITI mempersembahkan medley 12 lagu dari album Sitism. FOTO Nabila Adlina Azahari
SITI mempersembahkan medley 12 lagu dari album Sitism. FOTO Nabila Adlina Azahari
Syafil Syazwan Jefri


DERETAN lagu popularnya menjadi siulan pelbagai generasi. Bahkan, karya seninya melewati dan menembusi tembok bangsa dan kaum di Malaysia.

Kini, Datuk Seri Siti Nurhaliza mampu berbangga dengan pencapaiannya selepas melancarkan album ke-20, Sitism yang kini mula mendapat perhatian ramai.

"Alhamdulillah, Allah masih izinkan saya berkarya. Kali ini, saya bekerjasama dengan komposer lama dan baharu. Kerjasama ini penting untuk setiap kerjaya kerana tak ada yang lama, maka takkan ada yang baharu.

"Perasaan saya tatkala menyempurnakan album ini, umpama kali pertama saya nak hasilkan album. Ada karya yang benar-benar saya suka, tapi bukan kekuatan saya. Kerana itu, banyak ilmu yang perlu saya belajar daripada generasi baharu," katanya.

Menurut Siti, dia umpama melalui fasa pembelajaran baharu menerusi kerjasama dengan komposer generasi baharu ini.

"Banyak yang saya belajar dengan anak-anak muda ini. Contohnya, cara nyanyian yang mereka mahukan adalah 'straight forward' dan tak mahu terlalu banyak lenggok.

"Jadi, saya bawa karakter seperti yang mereka mahukan walaupun ia nampak santai. Setiap sebutan ada ritma tertentu. Ada yang mahu saya menyanyi dengan cara berbisik," katanya.

Berkongsi mengenai proses penghasilan Sitism yang memuatkan 12 lagu baharu, Siti berkongsi cabaran terbesar yang dilaluinya saat kehilangan suara selepas pernah dijangkiti Covid-19.

"Saya rasa dua kali kerana ada masalah dengan peti suara saya yang menyebabkan suara saya menjadi serak. Rakaman pertama dilakukan pada bulan Ramadan.

SITI kini tampil dengan album ke-20, Sitism. FOTO Nabila Adlina Azahari
SITI kini tampil dengan album ke-20, Sitism. FOTO Nabila Adlina Azahari

"Pada ketika itu, situasi agak sukar memandangkan suara saya serak, kemudian sakit tekak dan tak dapat nak minum air.

"Kemudian kami sambung semula merakamkan lagu yang saya sendiri rasa tak puas hati. Selain saya sendiri, komposer juga rasa bahawa saya boleh membawakan lagu mereka dengan lebih baik berbanding rakaman pertama," katanya.

Menurut Siti, dia juga mengambil masa agak lama sebelum proses rakaman bermula.

"Pengalaman merakamkan lagu dalam album ini berbeza. Aubrey antara orang yang tahu berapa lama masa yang saya perlukan untuk panaskan suara.

"Antara yang mencabar adalah ketika merakamkan lagu ciptaan Tomok dan Rudy Nastia berjudul Teratas. Disebabkan masalah dengan tekak saya, waktu saya rakamkan lagu itu, hanya keluar angin.

"Saya pun tak mahu tergesa-gesa. Saya nak sempurnakan album Sitism ini dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, hasilnya seperti yang peminat dapat dengar sekarang," katanya.

Berkongsi mengenai judul Sitism yang diangkat sebagai judul album ke-20 ini, Siti berkata, ia dicetuskan oleh komposer yang kerap bekerjasama dengannya, Aubrey Suwito.

"Nama judul Sitism sebenarnya cetusan idea dari Aubrey. Dia selalu beritahu bahawa saya ada ciri khas sendiri atau 'sitism'. Jadi, Kak Rozi juga selalu berikan idea cadangan beberapa pilihan nama album.

"Saya terus fikir dan beritahu Kak Rozi, Sitism pun okay," katanya.

Menurutnya, Sitism juga membawa erti buat mereka yang cukup mengenali susuk seorang Siti Nurhaliza.

"Selama peminat kenal saya, mereka dah tahu itu cara nyanyian saya dari segi melodi dan jiwa ketika menyanyi. Peminat adalah kekuatan saya juga. Jadi, Sitism adalah untuk semua yang benar-benar mengenali siapa Siti Nurhaliza," katanya.

Dilancarkan secara dua fasa, Sitism turut dikeluarkan dalam bentuk album fizikal kerana Siti percaya ia akan menjadi kenangan buat peminat setia.

"Sebagai permulaan, kami lancarkan lapan lagu dan kemudian, baru dilancarkan empat lagu lagi dalam album deluxe Sitism. Strategi sebegini sebenarnya sudah biasa dilakukan di luar negara. Untuk saya, ini kali pertama saya lakukan strategi ini.

"Selain dalam bentuk digital, kami juga keluarkan album dalam bentuk fizikal. Sejak 1996, saya keluarkan cakera padat (CD) dan ada peminat yang suka untuk menjadikannya sebagai koleksi peribadi.

"Jadi, saya keluarkan juga Sitism dalam bentuk fizikal walaupun tak sebanyak dahulu jumlahnya. Saya percaya, ia akan jadi kenangan manis untuk peminat," katanya.

Berkongsi mengenai rancangan dan impiannya, Siti menyimpan impian untuk membuka galeri bagi berkongsi kenangan manis bersama peminat yang bersamanya sejak awal pembabitan dalam industri muzik.

"Saya juga pernah terfikir untuk wujudkan galeri untuk diletakkan barang kenangan seperti anugerah dan sebagainya. Tapi, saya perlukan ruang dan masa untuk perbincangan yang lebih teliti.

"Perlu ada satu tempat sebagai rujukan sebab ia akan menjadi tempat untuk mengumpul fakta dan memori mengenai kejayaan.

"Ia lebih kepada sebagai tanda ingatan untuk saya. Lokasinya mungkin di Kuala Lipis atau Kuala Lumpur. Tapi, setakat ini ia belum dapat direalisasikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 7:00 AM