SITI teruja jayakan konsert khas sempena OzAsia Festival pada 18 Oktober depan.
SITI teruja jayakan konsert khas sempena OzAsia Festival pada 18 Oktober depan.
Sudirman Mohd Tahir


USAHA Datuk Seri Siti Nurhaliza mengangkat industri hiburan tempatan ke persada antarabangsa tidak pernah padam. Malah, Siti, 40, antara penyanyi yang sering mengadakan konsert baik dalam mahupun luar negara.

Selepas kejayaan siri konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di tiga lokasi di Kuala Lumpur, Jakarta dan Singapura, terbaharu Siti bakal muncul dalam konsert khas di Festival Theatre, Adelaide, Australia bersempena penganjuran OzAsia Festival pada 18 Oktober ini.

Lebih manis, persembahan berskala besar adalah yang pertama buat Siti di negara kanggaru itu.

“Sesuatu yang mengujakan sebab pertama kali membuat konsert di Adelaide. Peminat juga memberikan respons yang baik dan ramai yang ingin ikut serta ke sana.

“Memang ada rasa berdebar sebab membuat persembahan di negara orang dan pemilihan oleh penganjur juga penghormatan kepada saya,” katanya.

Berita gembira itu dikongsikan Siti menerusi Instagram miliknya minggu lalu.

“Kepada peminat saya, Sitizoners, di mana sahaja anda berada jom kita ke Adelaide. Kepada peminat di Asutralia, inilah masanya anda bertemu saya. Jumpa di Adelaide Oktober nanti,” tulis Siti.

LAGU HANTU

Dalam perkembangan lain, Siti muncul dengan single terbaharu, Kasihku Selamanya yang juga menjadi runut bunyi filem Dendam Pontianak lakonan Nur Fazura, Remy Ishak dan Hisyam Hamid.

Lagu yang baharu dilancarkan itu adalah ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh AD Samad dan menjadi lagu pertama Siti untuk filem seram.

“Lagu ini saya sudah rakam lama. Ini lagu yang kalau dinyanyikan berasa seram dan seperti berhantu. Kalau untuk filem, saya pernah menyanyikan beberapa lagu tema. Tapi kalau filem seram, ini kali pertama.

“Apabila Aubrey beri lagu ini dan saya dengar, bahagian ‘verse’ saja sudah seram. Petikan piano dalam lagu ini membangkitkan ‘mood’ seram. Jadi, saya cuba menghayati dari segi nyanyian dan lrik lagu ini.

“Jika dihayati, lagu ini seperti merayu, berdendam dan pada masa sama rasa kesedihan. Sebab itu, boleh dengar saya punya nafas merintih sikit,” katanya.

PERKONGSIAN Siti di Instagram mengenai konsert di Adelaide.
PERKONGSIAN Siti di Instagram mengenai konsert di Adelaide.

Ditanya mungkinkah lagu ini bakal menjadi pengukur buat lagu filem seram, Siti berkata, ia bergantung kepada penerimaan orang ramai.

“Sebenarnya apabila lagu pergi seiring dengan filem, baru orang akan rasa. Macam sekarang, lagu keluar dulu dan filem akan menyusul.

“Harapnya apabila lagu ini dikeluarkan dulu orang akan dengar dan meresap. Jadi, penonton yang menonton filem nanti lagi bertambah ‘berhantu’. Semoga strategi ini menjadi sebagaimana dirancang Aubrey dan penerbit filem ini,” katanya.

Pada masa sama, Siti berkongsi dia juga bakal muncul dengan album mini.

“Saya sudah ada satu lagu baharu yang belum dirakam. Saya merancang menerbitkannya sebagai single terbaharu nanti. Selain itu, saya sedang mencari dua lagi lagu untuk dimuatkan dalam album mini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 5:30 AM