Siti Rohana Idris

Tumpat: Imam di Kampung Perupok, Wakaf Bharu, di sini, sempat berpesan kepada anaknya agar terus mengimarahkan masjid jika dia dijemput Ilahi suatu hari nanti.

Kata-kata itu disuarakan Allahyarham Ismail@Yunus Yusof, 73 yang juga imam Masjid At-Taqwa, pagi semalam kepada seorang anaknya sebelum dia maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Delima, Wakaf Bharu, malam tadi.

Isterinya, Harison Mahat berkata, suaminya juga sempat meminta maaf berkali-kali daripada seorang lagi imam yang berkhidmat di masjid itu seolah-olah tahu masanya sudah tiba.

"Pagi semalam arwah suami sempat berpesan kepada anak perempuan agar sentiasa mengimarahkan masjid persendirian kami ini jika suatu hari nanti dia dijemput Ilahi dan tidak sangka itu pesanan terakhirnya.

"Masjid ini diwarisi sejak arwah bapa suami lagi dan banyak aktiviti dilakukan di sini termasuk kuliah, kelas mengaji al-Quran untuk kanak-kanak dan dewasa serta banyak lagi yang berbentuk keagamaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam tadi, Allahyarham yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah anak saudaranya tidak jauh dari kediaman untuk menyertai solat Hajat.

HARISON menunjukkan foto arwah suaminya, Ismail@Yunus yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Delima, Wakaf Bharu. FOTO Siti Rohana Idris
HARISON menunjukkan foto arwah suaminya, Ismail@Yunus yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Delima, Wakaf Bharu. FOTO Siti Rohana Idris

Dia dikatakan menunggang motosikal di tepi jalan dalam keadaan melawan arus sebelum dirempuh sebuah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Harison berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah anak di Melaka dan mengetahui berita itu menerusi ahli keluarga yang menghubunginya sebelum terus bertolak balik malam tadi.

"Kali terakhir kami berjumpa dan berbual pada pagi Rabu lalu sebelum saya bertolak ke Melaka dan selepas solat Subuh pada hari itu, saya bersalam dengannya dan memohon ampun.

"Saya berasa tergerak hati untuk meminta maaf pada hari itu dan sambil berseloroh memberitahu ampunkan salah silap saya kerana tidak tahu siapa yang akan 'pergi' dulu dan suami hanya tersenyum.

"Petang sebelum bertolak ke Melaka juga saya sempat memasak sup kaki kambing untuknya dan melihat dia makan dengan berselera," katanya.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Wakaf Delima, di sini, jam 11.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 1:56 PM