Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Balu kepada imam Masjid Kubang Jawi di sini, yang meninggal dunia ketika solat Asar pada Aidilfitri lalu tidak menyangka akan menerima pencen seumur hidup daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Saya tidak menyangka arwah suami (Allahyarham Shabudin Othman) ada mencarum Perkeso, Alhamdulillah duit ini dapat digunakan untuk kelangsungan hidup saya.

"Saya juga akan utamakan wang pencen ini untuk menunaikan hajat suami yang tidak kesampaian," kata Hafishah Marzuki, 57, ketika ditemui di rumahnya selepas majlis Penyerahan Faedah Perkeso di Kampung Lintang, Kubang Jawi di sini, hari ini.

Hadir bagi menyerahkan faedah itu ialah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang turut disaksikan Pengarah Perkeso Kedah Mohamad Haron Othman.

MUHAMMAD Sanusi (tengah) menyerahkan replika cek bayaran faedah sebanyak RM2,000 kepada balu imam Masjid Kubang Jawi, Hafisah di Kampung Lintang, Alor Janggus. FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHAMMAD Sanusi (tengah) menyerahkan replika cek bayaran faedah sebanyak RM2,000 kepada balu imam Masjid Kubang Jawi, Hafisah di Kampung Lintang, Alor Janggus. FOTO Luqman Hakim Zubir

Mohamad Haron berkata, balu imam berkenaan menerima bantuan Faedah Orang Tangungan (FOT) iaitu RM27.90 sehari ataupun kira-kira RM837 sebulan yang akan dibayar seumur hidupnya.

Katanya, balu berkenaan turut menerima bantuan tunai Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

"Kematian imam ini disahkan sebagai bencana kerja mengikut Seksyen 3 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) berdasarkan siasatan dilakukan Perkeso," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi, berkata Allahyarham Shabudin merupakan imam pertama di Kedah yang balunya menerima faedah Perkeso selepas meninggal dunia.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha kerajaan Persekutuan menerusi Perkeso untuk memberikan perlindungan kepada golongan bekerja sendiri melalui pelbagai inisiatif khas diperkenalkan kepada Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBS).

"Setakat ini, seramai 2,063 pegawai masjid dari keseluruhan 577 masjid di Kedah mencarum dengan Perkeso yang mana jumlah caruman ditaja kerajaan adalah sebanyak RM480,266.40.

"Antara golongan bekerja sendiri diberikan tumpuan termasuklah imam, bilal, guru takmir, nojak dan siak daripada sebarang bencana pekerjaan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)," katanya.

Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, Allahyarham Shabudin berada di barisan saf makmum dan dilihat lemah sehingga tidak mampu bangkit daripada sujud untuk melakukan tahiyad akhir sebelum disahkan meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:29 PM