ABDUL Rahman Alabaladi. FOTO Ihsan NSTP
ABDUL Rahman Alabaladi. FOTO Ihsan NSTP
Siti Rohana Idris

PEMUZIK tersohor Kelantan yang dikenali sebagai Abdul Rahman Alabaladi, 73, meninggal dunia pagi tadi akibat masalah paru-paru yang menyebabkan kegagalan jantung berfungsi.

Allahyarham Abdul Rahman Mohammad, 73, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi di sisi isterinya, Siti Mariam Abdul Rahman, 64, serta dua anaknya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Delima, selepas Zohor tengah hari ini.

Siti Mariam berkata,suaminya dimasukkan ke hospital sejak semalam selepas mengadu batuk dan mengalami sesak nafas.

"Pagi semalam dia mengadu sesak nafas serta batuk dan suami dibawa ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu, namun keadaannya semakin serius sebelum dirujuk ke HRPZ II.

"Dia dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut kerana doktor memberitahu paru-parunya dimasuki air yang menyebabkannya sukar bernafas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, hari ini.

Siti Mariam berkata, sejak dimasukkan ke wad, suaminya bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan dan tiada sebarang perubahan.

"Ketika dalam keadaan nazak, saya dan dua anak tidak putus berbisik di telinganya mengajar dua kalimah syahadah sebelum doktor segera membuat bantuan pernafasan.

"Suami gagal diselamatkan dan kami menangis di tepi katilnya kerana tidak menyangka suami akan pergi... namun kami reda dengan pemergiannya," katanya.

Menurutnya, pada minggu lalu, dia ada berbual dengan suaminya bertanyakan jika dia (Siti Mariam) dijemput Ilahi terlebih dahulu, siapa yang akan menjaga suaminya.

"Suami menjawab bahawa mati itu pasti dan tidak perlu difikirkan mengenai hal itu," katanya.

Allahyarham Abdul Rahman Alabaladi mengalami masalah cacat penglihatan sejak berusia enam tahun dan mempelajari bermain sebuah alat muzik iaitu kecapi yang diperbuat daripada batang buluh ketika kanak-kanak lagi kerana kekurangannya.

Beliau yang turut mempelajari beberapa alat muzik lain seperti gendang dan serunai memulakan karier dalam bidang seni sejak berumur belasan tahun sebagai seniman jalanan dengan menjual ubat tradisional.

Dikenali sebagai Abdul Rahman Alabaladi kerana sering menyanyikan lagu irama padang pasir yang dipopularkan oleh seorang penyanyi tersohor dari Mesir suatu ketika dulu iaitu Umi Kalthum.

Sepanjang bergiat dalam dunia seni, dia sudah menjelajah beberapa negara termasuk Jerman, Perancis dan Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 8:44 PM