MARY (kiri) Teh May Yee, 44, dan Puvaneswaran (belakang, kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Suraya Roslan
MARY (kiri) Teh May Yee, 44, dan Puvaneswaran (belakang, kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Suraya Roslan
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Ibu kandung dan teman lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mary Teh May Yee, 44, dan S Puvaneswaran, 29, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama membunuh kanak-kanak lelaki, Teh Joseph di rumah di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada 12.55 tengah malam, 22 Ogos lalu.

Oleh itu, wanita itu yang juga penganggur dan kekasihnya didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding sama, Puvaneswaran yang juga pemandu lori mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan keterangan bertulis palsu terhadap seorang anggota polis iaitu Konstabel Rashmit Kaur Harpajan Singh.

Tindakan itu menyebabkan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Che Ashru Nizam Che Abdul Rahman melakukan siasatan di mana ia tidak perlu dilakukan sekiranya keadaan sebenar kejadian dimaklumkan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan, dekat sini, pada 2.57 pagi, 22 Ogos lalu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukumam penjara maksimum enam bulan atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes bunuh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kesemua kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan teman lelakinya selepas dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Serdang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kedua-dua suspek juga membuat laporan polis palsu menyatakan terlanggar kanak-kanak itu dengan lori namun hasil siasatan mendapati kejadian yang dilaporkan itu tidak berlaku

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 2:07 PM