GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Putrajaya: Seorang lelaki warga Kemboja terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini, menggantikan hukuman mati kepada penjara 60 tahun kerana menyebabkan kematian dua kanak-kanak lelaki dan dua wanita di sebuah ladang kelapa sawit di Selangor, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail menjatuhi hukuman itu terhadap bekas penjual air, Usuf Matli, 39, selaku perayu selepas mahkamah sebulat suara menggantikan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh kepada Seksyen 304 (a) kanun sama iaitu menyebabkan kematian.

"Sabitan dan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap empat pertuduhan.

"Oleh itu, perayu menjalani hukuman penjara selama 60 tahun kerana hukuman itu berjalan berasingan daripada tarikh tangkap pada 7 September 2015," katanya yang turut bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, Usuf didakwa menyebabkan kematian dua kanak-kanak lelaki iaitu Rahimi Yusof dan Asnawi Ahmad serta dua wanita iaitu Fatimas Aly dan Salamah Yusof di kebun kelapa sawit di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor antara jam 1 pagi hingga jam 7.25 malam, pada 6 September 2015.

Umur mereka tidak dapat ditentukan kerana mereka pemegang pasport Kemboja.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.

Pada 8 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman mati ke atas Usuf selepas didapati bersalah membunuh semua mangsa-mangsa yang juga warga Kemboja itu.

Terdahulu, peguam, Salim Bashir yang mewakili Usuf memberitahu mahkamah, pihaknya sudah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggantikan hukuman mati itu kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari mengesahkan AGC menerima representasi itu yang dihantar pada 26 Januari lalu.

Pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu kemudian dibacakan kepada perayu dan dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Dalam rayuan terhadap hukuman, Salim memohon supaya perayu dikenakan hukuman penjara serentak bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 7 September 2015.

Mohd Fairuz pula memohon supaya perayu dikenakan hukuman penjara 18 tahun bagi setiap pertuduhan kerana dalam kejadian itu empat nyawa terkorban dan mangsa dibunuh dengan kejam.

"Oleh itu, hukuman penjara minimum 18 tahun dengan mengambil kira trend kesalahan yang dilakukan perayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 2:48 PM