Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Pilah: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua hari ini.

Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini, pada 4.15 petang.

Turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan itu ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke serta kepimpinan barisan Kerajaan Perpaduan negeri daripada BN dan PH.

Keputusan PRN Negeri Sembilan pada Sabtu lepas, menyaksikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 31 kerusi iaitu 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN manakala Perikatan Nasional (PN), lima kerusi.

Dilahirkan pada 2 Januari 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin dan isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, 53, mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Aminuddin menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perniagaan.

Pada PRN kali ini, Aminuddin mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat apabila menewaskan calon PN Ahmad Raihan Muhamad Hilal serta dua calon Bebas Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin, dengan majoriti 2,662 undi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu yang merupakan penyandang kerusi DUN Sikamat selama empat penggal sejak 2008, turut aktif dalam badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 4:26 PM