TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyerahkan watikah pelantikan Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. FOTO Bernama
TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyerahkan watikah pelantikan Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan demi memastikan prestasi Negeri Sembilan terus digarap dan dipacu dengan baik.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata ia akan dibuat selari bersama lima tekad yang digariskan dalam Malaysia Madani diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tiada kawasan yang akan dipinggirkan, inklusiviti akan menjadi paksi kepimpinan rakyat dan pemimpin akan bergerak sederap dalam memacu pembangunan negeri.

"Semua inisiatif dalam Aspirasi Perpaduan akan diterjemahkan dalam tempoh kepimpinan bagi membangun dan memajukan lagi negeri ini di samping memelihara adat warisan yang disanjung tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah ikrar taat setia sempena Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Aminuddin yang dilantik semula sebagai Menteri Besar berkata, beliau berikrar akan melaksanakan tugas dengan penuh iltizam, integriti dan ikhlas.

Walaupun tugas yang dipertanggungjawabkan itu bukan mudah, apa lagi ia membawa harapan rakyat Negeri Sembilan atas Aspirasi Perpaduan yang dijanjikan, namun beliau berikrar akan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.

"Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan dibentuk untuk mencapai kemajuan negeri, kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sikamat pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu dan dilantik semula ke jawatan Menteri Besar.

PH memenangi 17 daripada keseluruhan 36 kerusi Dun pada PRN berkenaan dengan ahli gabungan itu DAP menang 11 kerusi, PKR (5) dan Amanah (1) manakala Barisan Nasional (BN), menang 14 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 5:36 PM