Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan belum 'dikunjungi' pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Katanya, beliau hanya mengetahui bahawa dirinya turut disiasat berkaitan kegiatan melombong REE yang berlaku di Bukit Enggang, Sik, melalui laporan media.

Berikutan itu, beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan terbaharu itu adalah satu plot besar dirancang untuk memburukkan imejnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Saya belum dikunjungi SPRM lagi, saya baca kenyataan di akhbar rupanya akhbar sudah mendahului proses. Saya pun hairan juga macam mana tajuk itu boleh keluar?

"Saya rasa ada satu plot yang besar sedang dirancang untuk memburukkan imej saya, memberi gambaran bahawa saya ini orang yang bermasalah, disiasat oleh macam-macam agensi, sedangkan sebenarnya benda itu tak berlaku.

"Saya difahamkan SPRM menyiasat MBI (Perbadanan Menteri Besar), bukan Menteri Besar," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, SPRM membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang menteri besar dalam isu perlombongan REE.

Ia dipercayai dilakukan secara tidak sah dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Muhammad Sanusi pada masa yang sama turut menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan kes kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik termasuk berkaitan kemasukan pekerja asing.

"Satu-satunya perkara yang di 'brainstorm' untuk mengaitkan salah laku di Kedah ini adalah REE. Kalau saya tahu orang curi tentu saya tangkap. Nama pun kecurian tentulah orang tak tahu.

"Tak akan saya nak curi barang di negeri saya sendiri, lebih baik saya curi di negeri lain. Itu naratif yang sedang dibina, keluar saja tajuk (berita) semalam itu saya tahu dah. Proses tak berlaku tapi perintah keluar. Pasal apa? Tentu ada sesuatu.

"Saya harap benda ini dapat dihentikan kerana Allah akan menggagalkan semua rancangan jahat ini," katanya.

Mengulas mengenai surat yang dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini untuk mendapatkan pas lawatan khas bagi kemasukan pekerja REE dari China, Muhammad Sanusi berkata, surat itu ditulis untuk membawa pakar bagi tujuan penjelajahan dan penyediaan awal eksplorasi REE.

Katanya, usaha sama yang dilakukan antara MBI Kedah dan syarikat kerjasama Prospek Suria bagi tujuan eksplorasi berlaku sebelum beliau menjadi Menteri Besar pada Mei 2020 lagi.

"Benda itu kita teruskan bila dia (syarikat) dapat lesen jelajah dia nak bawa masuk (pekerja) untuk memulakan 'exploration' (penjelajahan), dia perlu pakar. Masa itu Covid-19, tak ada siapa boleh masuk, pintu negara kita tutup, pintu negara China pun tutup.

"Jadi untuk memastikan boleh berlaku pergerakan kemasukan pakar itu dia perlu kepada surat sokongan. Dia minta sokongan kita, jadi kita sokong surat itu tuju kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada masa itu KDN yang buat keputusan, bukan saya.

"Bukan kerana surat itu tiba-tiba saya jadi pencuri, takkan jauh begitu kaitannya. Ini satu-satunya komplot jahat yang sedang dimainkan membabitkan tokoh tertinggi negara untuk mengenakan pihak tertentu di Kedah," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu berkata. beliau difahamkan pihak Cawangan Khas, Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan SPRM sudah memasuki pejabat MBI bagi melakukan siasatan.

"Kerja Kerajaan MADANI kini adalah menyelongkar dan mencari salah orang, walaupun kesalahan itu dikompaun dan dilaksanakan. Proses ini dibuat agensi dan jabatan kerajaan. Sudah tangkap dan dakwa (pihak terbabit), tapi dibuat supaya berlaku satu lagi proses untuk mengaitkan kegiatan ini dengan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 4:42 PM