Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media mendedahkan satu lagi kecurian REE di Kampung Bendang Man, Sik. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media mendedahkan satu lagi kecurian REE di Kampung Bendang Man, Sik. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan berlaku satu lagi kejadian kecurian unsur nadir bumi (REE) yang berlaku di Kampung Bendang Man, Sik.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pihak berkuasa bertindak melakukan beberapa tangkapan ke atas individu terbabit dalam kegiatan itu dan merampas lima guni bahan REE.

"Kejadian terbaharu ini berlaku di luar Hutan Simpan Bukit Enggang iaitu di Kampung Bendang Man, Sik di tapak ladang milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah. Saya difahamkan atas nama eksplorasi, dikeluarkan lima guni REE dari kawasan itu.

"Pihak polis sudah mengambil tindakan dan ada tangkapan dilakukan selain rampasan lima guni REE. Berapa ramai yang ditahan setakat ini, itu kena tanya polis," katanya dalam sidang media di Pejabat PKR negeri di sini, hari ini.

Saifuddin berkata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengerusi MBI perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu kerana Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Muhamad Sobri Osman yang mengeluarkan surat kebenaran kepada syarikat terbabit.

Katanya, kebenaran itu diberikan kepada syarikat terbabit untuk tujuan penerokaan, namun apa yang berlaku adalah berlainan daripada yang dibenarkan.

"Tujuannya apa (kebenaran masuk ke tanah MBI)? Macam biasa untuk pembukaan ladang hutan dan berkaitan pengambilan sampel.

"Baik ladang hutan atau pengambilan sampel, ini adalah pintu kepada insiden kecurian REE di kawasan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu Saifuddin berkata apa yang dikesalkan adalah, kecurian REE atas nama lesen eksplorasi itu terus berlaku ketika pelbagai pendedahan dibuat mengenainya.

"Lesen eksplorasi ini diberi kepada syarikat, tetapi siapa dalam syarikat itu? Adakah terdiri daripada ahli geologi profesional? Siapa yang memperakuinya dan apa keperluan membawa keluar sampai lima guni REE dari kawasan itu?

"Berapa banyak sampel nak ambil dan berapa banyak lagi surat kebenaran akan dikeluarkan MBI Kedah untuk lesen pengambilan sampel? Muhammad Sanusi kena tanya perkara ini kepada CEO MBI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 5:10 PM