SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Asnaf Warga Polis Diraja Malaysia, hari ini. FOTO Mikail Ong
SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Asnaf Warga Polis Diraja Malaysia, hari ini. FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor diminta menjawab dan mendedahkan identiti seorang lelaki warga China yang ditahan di sebuah Hutan Simpan Bukit Enggang Sik berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) pada Januari lalu.

Persoalan itu diajukan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas mendapati lelaki berkenaan masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan ikhtisas berjawatan profesional dengan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Saifuddin berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu diminta menjawab persoalannya memandangkan kemusykilan berhubung identiti lelaki berkenaan yang memperoleh visa untuk bekerja dengan MBI sedangkan Muhammad Sanusi memaklumkan isu kecurian REE tiada kaitan dengannya.

"Malam tadi saya sebut dua perkara mengenai Sanusi dan hari ini dia jawab sampai heret penjawat awam sekali. Jadi malam ini saya nak tanya Sanusi lagi supaya dia boleh jawab esok.

"Apakah Sanusi boleh mengesahkan atau menamakan seorang lelaki Warga China yang diberikan pas lawatan ikhtisas dan bekerja dengan MBI kemudian ditangkap di Hutan Simpan Kedah? Kenapa dia (lelaki itu) ditangkap?

"Saya sebut ini supaya dia (Sanusi) tak cuci tangan sebab bila sebut pasal nadir bumi (REE), dia kata kerajaan negeri tak terbabit MBI pun tak terlibat dan orang lain yang terlibat," soalnya ketika berucap ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang, di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini, malam ini.

Katanya, surat kompaun yang dihantar ke MBI bukan dongeng dan ia memang wujud.

"Siapa curi dan siapa bayar itu soal nombor dua, faktanya ada surat kompaun dihantar kepada MBI dan itu tak berubah.

"Bila kita serang baru dia sibuk jawab, biar dia jawab satu persatu. Saya akan terus dedahkan sepanjang siri kempen dan ini adalah tema kita patut ambil alih Kedah kerana pentadbiran sekarang lemah dari segi tata kelola atau amalan tadbir urus yang baik," katanya.

Saifuddin dalam ceramahnya di Guar Chempedak Gurun semalam mendakwa bahawa Muhammad Sanusi dikompaun RM500,000 kerana kesalahan mencuri REE.

Menurutnya, denda itu dikeluarkan tahun lalu oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah ke atas Muhammad Sanusi atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi MBI Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 12:23 AM