AZAM pada program menembak SPRM bersama media di Padang Sasar Maktab Penjara Kajang. FOTO Saifullizan Tamadi
AZAM pada program menembak SPRM bersama media di Padang Sasar Maktab Penjara Kajang. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunggu arahan selanjutnya daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan yang turut membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu sudah dilengkapkan.

Menurutnya, arahan selanjutnya dijangka diterima dalam tempoh beberapa minggu lagi untuk tindakan seterusnya.

"Siasatan berkenaan kes REE sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian seterusnya.

"Dijangka dalam tempoh terdekat, kemungkinan dua ke tiga minggu, pihak mereka akan membuat keputusan," katanya selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56, di Maktab Penjara Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Muhammad Sanusi mengesahkan beliau sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM berhubung isu berkaitan REE.

Muhammad Sanusi berkata, proses memberi keterangan kepada pegawai SPRM itu dibuat di pejabatnya minggu lalu dan beliau memberi kerjasama penuh bagi membolehkan siasatan kes berkenaan berjalan lancar.

Pada 26 Julai lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM berkaitan isu REE.

Sebelum itu, SPRM mengesahkan sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 1:46 PM