Dari kiri, Juriah dengan pasangan Ahmad, Mohd Zulhaire bersama Nurhazimah dan Rozita bersama Mohd Yazid  pada majlis persandingan di Rizab 2, Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Dari kiri, Juriah dengan pasangan Ahmad, Mohd Zulhaire bersama Nurhazimah dan Rozita bersama Mohd Yazid pada majlis persandingan di Rizab 2, Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Togi Marzuki


Pontian: Bapa, anak serta cucu merealisasikan hari bersejarah mereka apabila melangsungkan majlis perkahwinan secara serentak di Jalan Rezab 2, Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di sini, hari ini.

Ahmad Omar, 80, (bapa) bersanding bersama pasangan, Juriah Misubani, 61; Rozita Ahmad, 45 (anak) pula bersanding bersama Mohd Yazid Ali, 44; manakala Nurhazimah Mohd Hussin, 24, (cucu) dengan pasangannya, Mohamad Zulhaire Zakaria, 22.

Majlis bersejarah itu turut dihadiri kira-kira 3,000 tetamu.

Majlis pernikahan Ahmad berlangsung pada 1 Jun, Rozita pula pada 3 Jun manakala Nurhazimah pada 30 Jun.

Pasangan mempelai Ahmad Omar dan Juriah mengenakan pakaian serba kelabu, Nurhazimah bersama Mohamad Zulhaire pula serba merah manakala Rozita serta Mohd Yazid berpakaian ungu.

Ketiga-tiganya bersanding di rumah Mohd Hussin Jambari selaku tuan rumah yang juga bapa kepada Nurhazimah.

Ahmad yang juga bapa kepada enam anak dan mempunyai 15 cucu serta tiga cicit berkata, majlis pernikahannya berlangsung di Pejabat Kadi Pontian dengan hantaran RM5,000.

Katanya, kelangsungan majlis berkenaan, termasuk bersanding secara serentak adalah hasil permuafakatan semua pihak, termasuk ahli keluarga pengantin.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak, termasuk penduduk kampung serta saudara-mara, yang membantu menguruskan majlis ini," katanya yang juga petani.

Bagi Rozita yang juga anak bongsu daripada enam beradik, dia bersyukur dengan kelancaran majlis persandingan itu.

"Siapa sangka, tiga generasi bersanding di pelamin yang hari yang sama. Ia cukup menunjukkan eratnya silaturahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat.

"Saya berdoa supaya perkahwinan kami sentiasa dirahmati Allah SWT. Terima kasih juga kepada semua yang membantu," katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di daerah ini.

Sementara itu, tetamu, Robaniah Jamari, 60, berkata, majlis berkenaan bukan sekadar menjadi kenangan buat mempelai malah tetamu.

"Majlis ini cukup unik serta melambangkan keharmonian dalam keluarga juga masyarakat," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:38 PM