RAJA Afiq dan Soffwany selamat bernikah pada 9 pagi tadi.
RAJA Afiq dan Soffwany selamat bernikah pada 9 pagi tadi.
Georgie Joseph


DENGAN sekali lafaz, pelakon Raja Afiq, 26, sah bergelar suami kepada anggota polis juga penyanyi, Soffwany Yusuf, 31, pada jam 9 pagi, hari ini.

Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohamad Yusoff Lebai Hamzah di hadapan 18 tetamu.

Ditemui pada majlis keraian selepas itu, pelakon Sayangku Kapten Mukhriz itu bersyukur akhirnya disatukan dengan Soffwany atau nama sebenarnya Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff.

"Syukur semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Mengikut perancangan, kami akan berbulan madu di Langkawi, esok.

"Kalau ikutkan, perancangan kami untuk bernikah adalah pada Ogos lalu. Bagaimanapun, dengan situasi pandemik Covid-19 sekarang, kami terpaksa anjak pada tarikh hari ini.

"Mengenai zuriat, kami serahkan kepada rezeki Allah. Kami tidak merancang, lambat atau cepat, kami terima," katanya.

Pada majlis itu, Raja Afiq menyerahkan wang hantaran berjumlah RM15,000, mas kahwin sebanyak RM1,101 beserta lima dulang dan dibalas dengan tujuh dulang daripada pihak perempuan.

Sebaik selesai majlis pernikahan, pasangan itu diraikan di sebuah dewan di Plaza Jelutong. Pasangan ini dijangka mengadakan majlis bersanding pada Januari depan sama ada di Kuala Lumpur atau Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 1:30 PM