KUGIRAN Masdo
KUGIRAN Masdo
Najiy Jefri


Ketika peminat ‘diasyikkan’ dengan populariti penyanyi yang sedang meledak dengan lagu hit masing-masing, tiba-tiba nama Kugiran Masdo mencuri perhatian.

Buktinya, selepas menjelajah tiga destinasi festival hipster GegaRia di Shah Alam, Johor Bahru dan Kuantan baru-baru ini, rata-rata pengunjung yang hadir begitu memuja kumpulan ini.

Setiap kali tiba giliran mereka mengadakan persembahan pada konsert anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu, setiap kali itulah penonton bagai dipukau oleh empat pemuzik yang memperjuangkan konsep pop yeh yeh 1960-an ini.

Ditubuhkan pada 2015, kumpulan yang dianggotai Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/vokal), Asmawi (gitar/vokal) dan Ali Sariah (vokal utama/gitar) itu menganggap penganjuran festival terbabit menjadi bukti kehadiran mereka kian diminati di arus perdana.

Ali berkata, sebelum ini mereka sudah memiliki jenama yang kukuh dalam kelompok pengikut ‘underground’, namun penganjuran Festival GegaRia memberi platform lebih besar buat mereka.

“Kami tidak pernah ambil jalan pintas untuk sampai ke tahap ini. Banyak dugaan yang terpaksa ditempuh seperti menggunakan duit poket sendiri untuk melakukan konsert jelajah di Malaysia.

“Alhamdulillah segala usaha dan kerja keras kami akhirnya terbayar apabila melihat penerimaan peminat yang luar biasa menerusi festival ini.

“Walaupun segelintir peminat di Malaysia berpandangan muzik indie perlu kekal di lapangannya, saya mahu mengubah mentaliti itu apabila kami juga boleh bersatu dengan arus perdana,” katanya.

Menurut Ali, mereka mempunyai beberapa perancangan tahun ini dan berharap tahun ini bakal memberi sinar kejayaan.

KUGIRAN Masdo
KUGIRAN Masdo

“Banyak perancangan yang sedang diaturkan bagi membesarkan pendengar kami di arus perdana sebagaimana kami mendapat perhatian meluas di arena muzik underground.

“Selain itu kami juga bercadang hasilkan video muzik kerana menganggap itu adalah statergi terbaik untuk menarik lebih ramai pencinta muzik,” katanya.

Lebih menarik, kumpulan yang memperjuangkan genre pop klasik dengan mengambil aura lagu Melayu era 1960-an digabung dengan pop masa kini, Kugiran Masdo ditawarkan merakam single daripada kumpulan luar negara, The Bootleg Beatles.

Menurut Ali, pelawaan itu datang selepas Kugiran Masdo membuat persembahan pembukaan sempena sesi konsert jelajah kumpulan itu di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Kami seperti tidak percaya apabila gitaris kumpulan The Bootleg Beatles menghubungi dan memberitahu ada lagu yang ingin diberikan.

“Insya-Allah kami dalam perancangan ke London pada Ogos ini untuk menjalani sesi rakaman, namun kami sedang mendapatkan tajaan untuk ke sana.

“Kami juga turut mendapatkan bantuan daripada AG Coco dan kumpulan Hujan untuk melakukan gigs di London,” katanya.

Menurut Ali, dia menganggap tawaran ini sebagai rezeki apabila sesi rakaman terbabit bakal dilakukan di Abbey Road Studios, London.

“Kumpulan legenda The Beatles dan ramai penyanyi ternama pernah membuat rakaman di sana. Jadi kami mahu ambil peluang keemasan ini dan berharap ia tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 3:28 AM