GOSTAN dibarisi pemuzik daripada anggota band MonoloQue. FOTO Ezairi Shamsudin
GOSTAN dibarisi pemuzik daripada anggota band MonoloQue. FOTO Ezairi Shamsudin
Norhayati Nordin


MINAT mendalam pada muzik mendorong MonoloQue atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar, 45, terus berjuang tanpa rasa lelah untuk mengkaji dan membuat eksperimen dalam setiap karya seni dihasilkan.

Mesra dengan sapaan LoQue, dia yang menceburi bidang muzik sejak 2004 dengan menyertai kumpulan Butterfingers sebagai gitaris, kini cukup matang dalam merancang hala tuju diinginkan dalam karier seninya itu.

Ditemui baru-baru ini, LoQue bersama barisan pemuziknya iaitu Afiz Loko, Bakri Ismail, Memey dan Harry Misteri muncul dengan 'band projek' mereka, Gostan yang melancarkan lagu Dia Datang nyanyian asal 'Raja Gambus' iaitu Allahyarham Fadzil Ahmad.

Bergabung dengan Asmidar sebagai rakan penyanyi strategik, LoQue menyifatkan tidak ramai penghibur wanita yang boleh menyanyikan lagu tradisional Melayu dengan baik. Apa pun, Asmidar sudah membuktikan bakatnya.

"Walaupun saya ada band MonoloQue, tapi penubuhan Gostan sebagai 'band projek' juga sangat bermakna kerana hala tujunya untuk menghangatkan semula lagu lama supaya dikenal dan diingati kembali oleh generasi muda negara.

"Menerusi Gostan, sebenarnya saya mahu bergerak aktif secara rasmi

memainkan semula lagu lama yang diberi nafas baharu merangkumi lagu rakyat, tradisional, klasik termasuk irama pop 70-an.

"Ini kerana, kita sebenarnya mempunyai banyak lagu lama yang dirakamkan penyanyi terdahulu dan sedap didengar. Cuma, saya percaya kebanyakan pendengar muzik masa kini tidak mengenali karya dan penyanyi itu.

"Sayang juga sekiranya lagu lama ini tidak 'dihangatkan' semula sebab ia adalah warisan yang perlu dipelihara. Kalau saya mahupun penyanyi lain yang masih aktif sekarang tidak lakukan sesuatu, karya lama ini pasti terkubur dan dilupakan nanti," katanya.

LoQue berkata, dia melihat keputusannya menubuhkan Gostan dan merakamkan kembali lagu lama sebagai 'tanggungjawab rasmi' ke arah usaha mempertahankan seni warisan lagu tradisi dan Nusantara.

"Gostan memilih lagu lama yang dirasakan sesuai oleh kami dan sedap didengar untuk dirakam semula dengan memastikan keaslian pada melodi lagu tidak diubah. Kami hanya menyuntik sedikit elemen segar pada lagu lama itu.

"Tujuannya, kami (Gostan) nak bagi orang kenal semula lagu lama, termasuk menarik perhatian mereka untuk mendengarkannya. Sebelum ini, lagu Tak Seindah Wajah nyanyian asal Allahyarham Tan Sri SM Salim kami rakam semula dan diterima baik pendengar.

"Jadi, kali ini Gostan pertaruhkan pula lagu Dia Datang dengan kemunculan istimewa pelakon, Azhar Sulaiman dalam muzik video dihasilkan yang memerlukan dia (Azhar) menari di hadapan orang ramai di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu kota," katanya.

LOQUE dan Gostan kini muncul dengan single Dia Datang. FOTO Ezairi Shamsudin
LOQUE dan Gostan kini muncul dengan single Dia Datang. FOTO Ezairi Shamsudin

Ditanya juga perancangan Gostan menerbitkan album lagu tradisional, LoQue berkata, dia akan merealisasikannya suatu hari nanti. Katanya, cuma dia tidak mahu buat secara terburu-buru kerana bakal memuatkan 10 lagu.

"Setakat ini, ada empat lagu sudah pun dirakam termasuk Ketipang Payung dan Tari Tualang Tiga. Bagaimanapun, setiap lagu itu akan kami lancarkan setiap tiga atau empat bulan sekali berikutan konsep pasaran kini secara digital.

"Selain Asmidar, Gostan juga dalam proses mengenal pasti beberapa penyanyi wanita lain untuk kami ajak bekerjasama. Apa pun, semuanya bergantung pada persetujuan yang akan diterima daripada mereka," katanya.

LoQue berkata, apa yang pasti dia kagum dengan vokal nyanyian Asmidar. Malah, akuinya kebanyakan kelompok peminat MonoloQue juga sukakan kerjasama mereka yang dianggap terbaik dan unik.

LOQUE mahu pertahankan seni warisan lagu tradisi dan Nusantara. FOTO Ezairi Shamsudin
LOQUE mahu pertahankan seni warisan lagu tradisi dan Nusantara. FOTO Ezairi Shamsudin

Buat sepenuh hati

Menyedari perjuangan muzik cuba dilakukan itu semacam bersendiri tanpa mendapat sokongan padu daripada pihak sepatutnya, LoQue berkata, dia sudah terbiasa tidak berharap kepada orang lain.

Katanya, apa yang dibuat atas dasar minat dan pekerjaan yang dia suka. Menurut LoQue, lebih penting usaha dilakukannya sekarang untuk masa depan dan dalam soal ini, pembabitannya sepenuh hati.

"Dalam bidang muzik, semua yang saya buat sepenuh hati. Saya lakukan sebab seronok, suka dan tanggungjawab. Kalau ada pihak tertentu nak sokong, boleh saja. Tapi, jika mereka tak bantu pun memang saya tak marah.

"Ini bukan paksaan. Jadi, sejak dari dulu saya dah alah tegal biasa sebab kalau kita tak buat memang tak akan ada siapa pun nak buat. Lagi pula, saya juga masih dalam proses mencari formula.

"Buat masa ini, saya buat saja untuk karya muzik yang jadi pilihan itu diraikan. Saya nak bawa orang mula mencari dan menyelidik lagu lama itu dengan kemudahan teknologi hari ini. Semuanya di hujung jari," katanya.

MonoloQue berkata, dia juga tidak pernah ambil peduli apabila dilabel 'syok sendiri' dengan karya lagunya yang terlalu berseni, termasuk mendapat pelbagai komen pedas daripada warga maya yang mengecamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 7:00 AM