Loque (dua dari kiri) dan kumpulan Monoloque. FOTO ihsan IG monoloquerasmi
Loque (dua dari kiri) dan kumpulan Monoloque. FOTO ihsan IG monoloquerasmi
Norhayati Nordin


PEKA dan prihatin pada pengorbanan petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini, Loque mewakili Penerbitan Pancasona menubuhkan tabung Derma Download Duduk Dengar (DDDD).

Menerusi tabung DDDD itu, peminat muzik tanah air dapat menderma sambil berhibur dengan pelbagai lagu daripada kumpulan Monoloque dan beberapa penyanyi lain.

Loque atau nama sebenar Khairil Ridzwan Annuar dihubungi berkata tabung itu dilancarkan sejak 2 April lalu dan hingga kini sudah berjaya mengumpul sumbangan sekitar RM2,000.

"Alhamdulillah, saya bersyukur wang yang dapat dikumpul itu, sebahagiannya sudah pun disalurkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara, baru-baru ini.

"Saya harap jumlah sumbangan akan terus bertambah bagi memastikan barisan petugas hadapan kita dapat dibantu dari segi keperluan mereka seperti peralatan perlindungan diri (PPE)," katanya kepada Harian Metro.

Loque berkata dia mula memikirkan inisiatif sesuai untuk membantu petugas barisan hadapan sejak hari pertama perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan pada 18 Mac lalu.

“Apapun, segala tindakan difikirkan tentu ada cabarannya. Ditambah lagi, hendak membangunkan suatu sistem perlu mengambil masa berikutan tenaga kerja yang terhad.

"Namun, saya bersyukur apa yang dirancang berhasil juga. Hasrat saya bersama beberapa rakan nak menubuhkan tabung DDDD ini menjadi kenyataan. Allah membantu niat ikhlas kami.

"Nak bantu petugas barisan hadapan dari segi perubatan, kami kurang ilmu dan tidak ada kepakaran. Jadi, kami berusaha mengumpulkan sumbangan dari karya lagu dihasilkan," katanya.

POSTER Derma . Download . Duduk . Dengar. FOTO ihsan Instagram
POSTER Derma . Download . Duduk . Dengar. FOTO ihsan Instagram

Menurut Loque, sebagai ahli muzik dia juga tidak selesa duduk rumah tanpa membuat kerja. Oleh itu, dia menghasilkan lagu dengan ilham dikurniakan Allah untuk menjana wang bagi membantu petugas barisan hadapan.

Loque berkata individu yang menderma dalam tabung itu dengan nilai RM10 hingga RM50, mereka akan diberi akses untuk mendengar dan memuat turun lagu artis tempatan di Pustaka Muzik DDDD.

“Selepas menderma, kami memberi akses untuk masuk ke Pustaka Muzik DDDD. Penyumbang boleh mendengar, strim dan muat turun pada masa yang sama.

"Setakat ini, ada berpuluh lagu dalam Pustaka Muzik DDDD dan pilih saja apa yang mahu didengar. Selain Monoloque, ada kumpulan lain seperti Salammusik turut bekerjasama menyumbang lagu.

"Malah, buat pendengar kami muatkan juga lagu demo, iaitu karya yang tidak dimasukkan ke dalam album. Jadi, koleksi lagu sentiasa bertambah dari masa ke semasa sehingga dijangka PKP berakhir pada 28 April ini," katanya.

Ujar Loque, ada beberapa lagi penyanyi akan turut serta untuk sumbangkan karya lagu iaitu Najwa Mahiadin, Aizat Amdan dan band Iqbal M.

Sehubungan itu, bagi orang ramai berminat mahu menderma kepada petugas barisan hadapan menerusi tabung DDDD boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman www.pancasona.com.my.

Mengulas juga mengenai kumpulan Monoloque, ujar Loque selaku vokalis, mereka kini terbabit proses menyiapkan beberapa lagu untuk album mini terbaru.

Katanya, setakat ini dua lagu baru itu sudah boleh didengar di platforn Youtube iaitu Tunjuk Aku Belas Kasihan dan Pijak Atas Bayang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 12:53 PM