SINGLE terbaru Ringgit dimuatkan untuk album kedua Monoloque.
SINGLE terbaru Ringgit dimuatkan untuk album kedua Monoloque.
Oleh Norhayati Nordin


Jika sebelum ini kumpulan MonoloQue pernah muncul dengan lagu popular seperti Kekanda Adinda, Batu Belah Batu Konkrit, Tanah Airku Tanah Airmu Jua dan Den.dam, kini mereka mempertaruhkan pula single baru, Ringgit.

Penyanyi utamanya, LoQue atau nama sebenar Khairil Ridzwan Annuar, 38, yang ditemui pada majlis memperkenalkan muzik video Ringgit kelmarin berkata, lagu itu dilhamkan dengan kehidupan masa kini di mana ‘ringgit’ adalah kuasa besar dalam kehidupan manusia hingga segalanya sanggup dilakukan kerana wang.

“Lagu Ringgit ada mesej yang ingin disampaikan iaitu janganlah kita menjadi hamba duit tetapi biar duit jadi hamba kita.

“Meskipun duit atau wang itu penting dalam kehidupan seharian, namun jangan sampai leka atau terpedaya dengan duit.

“Apabila duit penting dan mungkin segalanya bagi manusia, kehidupan kita sudah umpama robot yang sibuk bekerja kerana duit,” katanya.

Menurut LoQue yang lebih gemar menghasilkan lirik puitis, unik dan penuh falsafah, apa yang ingin disampaikannya dalam lagu Ringgit itu sekadar pandangan dan luahan.

Katanya, muzik bersifat luas dan bergantung kepada setiap individu itu untuk menganggap sesuatu karya seni dihasilkan itu bagaimana.

Merakamkan Ringgit sekitar hujung tahun lalu, LoQue berkata, lagu itu adalah single pertama diketengahkan untuk album kedua MonoloQue.

Memaklumkan dia cuba berusaha menyiapkan album kedua MonoloQue sebaik mungkin, LoQue berkata, dia juga sibuk dengan pelbagai komitmen.

“Sepatutnya album ini sudah disiapkan, tetapi jadual kerja saya terlalu sibuk dengan pelbagai urusan lain. Saya bukan sekdar berkarya dan bermain muzik.

“Saya juga terikat dengan urusan kerja lain seperti pembikinan adunan skor lagu untuk filem, drama, telefilem dan juga majlis hiburan. Dalam tempoh terdekat ini saya terbabit dengan pengurusan acara untuk Sukan SEA di Singapura.

“Jadi, masa yang terlalu sibuk itu membuatkan saya tidak mampu memberi komitmen untuk menyiapkan album kedua MonoloQue ini. Justeru, nampaknya peminat kami harus menung­gu lagi,” katanya.

Tidak memaksa peminat MonoloQue untuk menerima genre muzik diketengahkan, LoQue berkata, dia sudah berpuas hati kerana mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 11:59 AM