LOQUE dan Najwa.
LOQUE dan Najwa.
Norhayati Nordin

Meskipun kebanyakan penyanyi cenderung menyemarakkan lagu era 1990-an, MonoloQue berpaut pada prinsip berbeza.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kekanda Adinda ini tampil mempertaruhkan single terbarunya yang unik, Chinta.

MonoloQue atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar berkata, susunan muzik untuk single itu diperkasakan dengan alunan rentak gamelan.

“Tidak mudah untuk saya menghasilkan single ini kerana penelitian mendalam terhadap susunan muziknya yang harus disatukan dengan gamelan.

“Boleh dikata, ia projek seni yang lama ‘tergantung’ kerana mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Demo Chinta dihasilkan pada 2006 dan dikongsi dalam laman Myspace saya.

“Namun, dek kerana sedar ilmu di dada masih kurang, saya ambil keputusan sambung belajar muzik di Amerika Syarikat pada 2006 hinga 2010,” katanya.

MonoloQue yang mesra dengan panggilan Loque berkata, dia tidak meneruskan pembikinan lagu itu apabila pulang ke tanah air sehinggalah Muzium Pahang ingin bekerjasama pada 2013.

Bakal memuatkan single Chinta dalam album Lagu Perang yang akan dilancar selepas Aidilfitri nanti, Loque memberitahu ada 10 lagu dihasilkan buat pendengar.

“Terus terang, daya tarikan utama semua lagu ini diperkasa dengan alunan muzik gamelan yang relevan dengan masa kini.

“Secara tidak langsung, ia juga memberi gambaran baru bahawa muzik gamelan boleh diterima semua peringkat usia dan tidak tertumpu pada golongan istana saja,” katanya.

Loque berkata, kerjasama dengan Muzium Pahang adalah usaha untuk memartabatkan seni warisan menerusi instrumen tradisional seperti gamelan.

“Saya sentiasa yakin usaha ini akan berjaya meskipun ia memerlukan masa agak lama untuk diterima masyarakat negara ini.

“Seperti juga pemakaian tengkolok dan samping yang saya padankan dengan seluar denim suatu ketika dulu, pernah juga dikritik dan dikecam orang ramai.

“Bagaimanapun, kini saya sangat bangga apabila ia sudah mampu menjadi ‘virus yang baik’ kerana menjadi ikutan masyarakat terutama generasi muda,” katanya.

Loque berkata, sesuatu berkaitan budaya dan warisan harus diperjuangkan kerana ia sebahagian lambang keunikan Malaysia.

Single Chinta menyaksikan Loque berduet dengan penyanyi berkaliber Najwa Mahiaddin.

Terpikat alunan gemersik Chinta

Minat mendalam terhadap muzik membuatkan Najwa tekad membina kerjaya lebih serius sebagai penyanyi dan komposer.

Meskipun genre muziknya adalah R&B, jati diri Melayu yang tebal dalam diri menarik minat Najwa terhadap lagu tradisional.

Pernah merakamkan semula lagu Seri Mersing yang diberi nafas baru, Najwa berkata, dia tidak sangka usaha itu berjaya.

“Saya ada misi tersendiri dalam perjungan muzik ini. Namun, ia selesa dilakukan secara berperingkat dan mengikut perancangan.

“Apapun, saya akui irama tradisional ada keunikan tersendiri dan mampu dibawa ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut single Chinta, Najwa berkata, ia single pertama dirakam bersama Loque.

“Saya sudah lama kenal Loque. Malah, kami banyak kali berkongsi pentas persembahan,” katanya.

Ujar Najwa, cuma baru sekarang mereka diberi rezeki dan peluang oleh Allah SWT untuk merakamkan lagu secara berduet.

“Saya teruja dan tertarik untuk merakamkan single Chinta kerana melodinya yang unik. Liriknya juga mantap. Selain itu, saya sangat mengagumi susunan muzik dan lagu ciptaan Loque.

“Loque anak seni yang berkaliber dan berbakat besar. Dia tahu apa yang dia mahu,” katanya.

Sambung Najwa, tahun ini dia akan muncul dengan EP yang memuatkan dua lagu Inggeris dan satu Melayu.

Katanya, untuk bahasa Melayu, dia mempertaruhkan lagu Togok ciptaan Loque yang sangat menarik melodi dan liriknya.

Najwa yang pernah popular dengan lagu Senyum berharap Chinta diterima baik stesen radio dan pencinta muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 5:29 AM