ZII Jia kini menduduki ranking ke-11 dunia. FOTO BADMINTON PHOTO
ZII Jia kini menduduki ranking ke-11 dunia. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mahu berehat daripada badminton seketika selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia, hari ini.

Bekas juara Asia itu terus dihantui nasib malang apabila tewas di pusingan pertama di tangan pemain India, Lakshya Sen 17-21, 13-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga berturut-turut Zii Jia yang kedudukan ranking dunianya kini jatuh di tangga ke-11, tewas di pusingan awal.

Sebelum ini, bekas juara Asia itu tersingkir di pusingan kedua Masters Malaysia dan pusingan pertama Terbuka Singapura, minggu lalu.

"Lakshya bermain dengan baik hari ini. Saya fikir buat masa sekarang saya mungkin berhenti sementara daripada badminton.

"Saya tidak pasti berapa lama akan ambil masa, tetapi saya mahu berhenti daripada badminton seketika sehingga kembali mendapat motivasi.

"Saya akan berhenti dan berehat untuk seketika," kata Zii Jia dalam laman web rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Zii Jia berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Mungkin saya akan berhenti bermain kejohanan, tidak pasti berapa lama. Saya sudah memikirkan mengenai perkara ini agak lama.

"Sudah terlalu sukar untuk saya terus beraksi di gelanggang, saya tidak boleh fokus 100 peratus. Ia adalah sesuatu yang baik untuk saya berehat.

"Keutamaan saya adalah untuk mencari semula keghairahan saya di gelanggang.

"Saya bermain dengan baik di Piala Sudirman, tetapi selepas itu tidak banyak beza (persembahan)," katanya yang

bakal menggunakan khidmat Wong Tat Meng sebagai jurulatih, awal Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 4:24 PM