LEE Zii Jia. FOTO ASYRAF HAMZAH
LEE Zii Jia. FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prestasi dipamerkan pemain perseorangan professional negara, Lee Zii Jia tampak semakin meningkat biarpun perjalanannya terhenti di peringkat suku akhir Kejohanan Seluruh England 2024 di Birmingham, awal pagi tadi.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj berkata, kekalahan dialami Zii Jia di tangan wakil India, Lakshya Sen boleh dielakkan seandainya pemain berusia 25 tahun itu bijak memanfaatkan kekuatan smash dimiliknya untuk 'mematikan' lawannya di Utilita Arena Birmingham.

Walaupun mendahului pada set pertama, 22-20, namun pemain di ranking ke-10 dunia itu gagal mengekalkan rentak kemenangan sekali gus tumpas pada dua set berikutnya kepada Lakshya, 16-21, 19-21.

"Saya tengok Lakshya main simple saja, smash pun tak kuat namun Zii Jia dengan ketinggian dan smash yang mungkin paling kuat dalam kalangan pemain di All England 2024 tidak guna kelebihannya semalam.

"Mengapa Zii Jia tidak guna (smash), pemain pasti takut pukulan smash dia. Ini satu keputusan yang amat merugikan, bagaimana dia tewas pun saya tidak tahu kerana saya ingat dia boleh mara ke final dan jadi juara," katanya ketika dihubungi Bernama.

James, yang bingung dengan penyingkiran Zii Jia, mengakui yakin pemain ranking ke-10 dunia itu akan mendakap gelaran kedua peribadi pada kejohanan badminton tertua dunia selepas edisi 2021, apabila menang bergaya ke atas pemain nombor enam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka pada pusingan pembukaan serta bekas juara dunia 2021, Loh Kean Yew dari Singapura di pusingan kedua.

"Jelas sekali dia bermain dengan cukup baik dalam All England 2024 (setakat tahun ini) kerana dia berjaya menewaskan pemain lama seperti Naraoka dan Kean Yew.

"Berdasarkan game lawan Naraoka khususnya, pemain Jepun itu memang gemar main rally namun Zii Jia kerap guna kekuatan smash untuk hentam lawannya, namun berbeza pula ketika lawan Lakshya," katanya.

Sepanjang lima penampilan pada kejohanan individu tahun ini, bekas juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 itu telah mara ke suku akhir sebanyak tiga kali termasuk di Seluruh England 2024 manakala tersingkir awal di pusingan pertama sebanyak dua kali termasuk di Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Justeru bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap agar pemain kelahiran Kedah itu mampu mengekalkan momentum dimiliki sekali gus dapat menggenggam emas pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Zii Jia berpeluang cerah untuk membuat penampilan kedua di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 apabila menghuni kedudukan ke-10 dalam carta 'Race to Paris' dengan memungut 66,016 mata.

Sesebuah negara hanya boleh mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan, jika kedua-dua pemain berada pada ranking 16 teratas dalam ranking "Race to Paris" menjelang tempoh kelayakan pada 28 April ini.

Seorang lagi pemain perseorangan negara Ng Tze Yong pula terkeluar daripada carta kedudukan 16 pemain teratas dalam 'Race to Paris' apabila terpaksa berehat daripada sebarang kejohanan selepas menjalani pembedahan di bahagian belakang, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 5:20 PM