ZII Jia kelihatan sugul selepas tewas pada pusingan pertama Terbuka Indonesia. FOTO Bernama
ZII Jia kelihatan sugul selepas tewas pada pusingan pertama Terbuka Indonesia. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim tidak melihat tindakan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia untuk 'bersara' seketika dalam arena badminton bukanlah satu keputusan yang salah atau tergesa-gesa.

Ini kerana, setiap pemain perlu mempunyai tempoh bertenang supaya dapat membantu memulihkan kembali kondisi badan dan meningkatkan keupayaan diri bagi mengharungi kejohanan lebih besar.

"Kalau dilihat semula, tindakan itu memang betul, sepatutnya bukan dia (Zii Jia) seorang sahaja, pemain lain juga perlu. Saya kata begini kerana pemain Malaysia ada yang bermain secara berturut-turut sejak Piala Sudirman lagi.

"Kita tidak mahu pemain dibelenggu kecederaan, jadi rehat sementara itu perlu untuk mengembalikan kondisi badan. Pemain tidak boleh terlalu memaksa diri sehingga menyebabkan mental terlalu penat," katanya.

Terdahulu, Zii Jia membuat keputusan mengejutkan apabila mahu berehat daripada badminton seketika selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia.

Bekas juara Asia itu terus dihantui nasib malang apabila tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia di tangan pemain India, Lakshya Sen 17-21, 13-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Mengikut rekod, Terbuka Indonesia adalah kejohanan keempat Zii Jia sejak saingan Piala Sudirman bulan lalu selepas dia turut menyertai Malaysia Masters dan Terbuka Singapura.

Selain itu, Roslin turut mencadangkan supaya Zii Jia dan pemain negara lain supaya memilih kejohanan bagi mendapatkan rehat mencukupi walaupun tahu mereka berada dalam tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya sudah cakap sebelum ini, tidak kira pemain kebangsaan atau profesional, mereka perlu kurangkan kejohanan. Pilih kejohanan supaya ada jarak masa bagi memastikan kondisi badan kembali pulih.

"Memang benar mata kelayakan ke Olimpik penting tetapi jangan terlalu mengejar sehingga menyebabkan mental penat. Saya fikir pengurusan, jurulatih dan pemain itu sendiri perlu buat keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 3:33 PM