STUART (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. -FOTO NSTP
STUART (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hala tuju pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dalam program Road to Gold (RTG) boleh dikatakan semakin samar selepas dia mengambil keputusan untuk 'gantung raket' seketika selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia, semalam.

Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, keputusan pemain yang berada di ranking sebelas dunia itu menimbulkan tanda tanya terutama membabitkan hala tujunya dalam persiapan ke temasya Olimpik Paris 2024 yang hanya berbaki setahun saja lagi.

Katanya, beliau sudah menghubungi Zii Jia untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan keputusan itu dan akan mengadakan perjumpaan bersama pemain itu sebaik pulang ke tanah air kelak.

"Sudah mesti ini menimbulkan ketidakpastian hala tuju Zii Jia sendiri tetapi saya sendiri sudah pun berhubung dengan beliau pagi ini dan harap bertemu dengannya apabila pulang ke Malaysia nanti.

"Minggu depan juga adalah perjumpaan jawatankuasa RTG dan perkara ini akan dibincang di dalam mesyuarat itu.

"Tunggulah dan bagi kami ruang untuk mendapat maklumat sepenuhnya sebelum dapat memberi hal tuju hal ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Zii Jia membuat keputusan mengejutkan apabila mahu berehat daripada badminton seketika selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia.

Bekas juara Asia itu terus dihantui nasib malang apabila tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia di tangan pemain India, Lakshya Sen 17-21, 13-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga berturut-turut Zii Jia yang kedudukan ranking dunianya kini jatuh di tangga ke-11, tewas di pusingan awal.

Jika Nasib tidak memihak kepada pemain terbabit kemungkinan dia berisiko akan terkeluar dari senarai RTG selepas jawatankuasa program itu akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 2:42 PM