PEMERIKSAAN dilakukan pegawai Unit Penguatkuasa Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor terhadap kediaman milik wanita menyamar sebagai doktor gigi bertauliah.
PEMERIKSAAN dilakukan pegawai Unit Penguatkuasa Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor terhadap kediaman milik wanita menyamar sebagai doktor gigi bertauliah.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nor 'Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Bukan lagi rahsia apabila kerjaya 'doktor cucuk' tidak bertauliah atau pakar estetik haram di negara ini menjanjikan pendapatan lumayan luar biasa.

Ini dibuktikan apabila ada antara mereka yang dahulunya menghuni flat Program Perumahan Rakyat (PPR) kini mampu menghuni banglo di kawasan perumahan elit berdasarkan risikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber KKM berkata, sehingga kini sebanyak 29 individu doktor palsu membabitkan 29 kes serbuan pusat estetik atau pergigian haram diambil tindakan sejak Januari 2022 hingga kini.

Daripada jumlah itu lima individu sudah dijatuhi hukuman manakala 13 lagi masih dalam proses pendakwaan.

"Kerjaya haram ini amat berisiko berikutan rata-rata suspek terutama wanita ini tidak memiliki sebarang tauliah dan pendidikan dalam bidang perubatan.

"Mereka sanggup membahayakan nyawa pelanggan dengan menawarkan rawatan tanpa berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia dan tidak mempunyai Sijil Pengamalan Pergigian Tahunan (SPPT).

"Biasanya mereka mengenakan caj sehingga ribuan ringgit bagi bentuk rawatan seperti perkhidmatan pembuatan gigi palsu, penskaleran (scaling), pemutihan gigi (tooth whitening), memasang pendakap gigi (braces), tampalan veneer, suntikan vitamin C dan pemutih kulit, suntikan kologen, sulam bedak dan pelbagai rawatan lain," katanya.

Terbaru sepasukan pegawai Unit Penguatkuasa Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu sebuah rumah di Puchong di sini, semalam, selepas pemiliknya dikesan menjalankan kegiatan pergigian dan estetik haram.

Wanita berusia 30-an terbabit sebelum ini menetap di sebuah pangsapuri kos rendah dan menawarkan rawatan itu tanpa tauliah.

Namun pendapatan lumayan diperolehi membolehkan dia kini berpindah dan memiliki kediaman mewah bernilai jutaan ringgit.

"Bagaimanapun suspek ini amat berhati-hati apabila tidak mengiklankan rawatan secara terbuka.

"Agak sukar untuk menjejaki operasinya berikutan ia diiklankan di laman sosial Instagram selain ia dilakukan di rumahnya sendiri. Bagaimanapun risikan tanpa putus asa KKM berjaya menjejaki lokasi sebenar suspek," katanya.

Menurutnya, wanita yang mempunyai tiga anak itu menyedari kegiatannya adalah satu kesalahan serius namun memberi alasan ia dilakukan selepas suaminya tidak membenarkan dia keluar bekerja.

"Susulan itu KKM merampas peralatan digunakan wanita itu bagi rawatan kecantikan haram di kediamannya

"Susulan itu wanita itu kini disiasat mengikut Seksyen 62 dan Akta 804 Akta Pergigian 2018 iaitu larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah Akta 804," katanya.

'Doktor maut' pandai berlakon

Johor: 'Nyawa' pelanggan bernilai sekitar ratusan hingga mencecah ribuan ringgit.

Ini caj ditetapkan 'doktor maut' yang hebat menyamar serta menggunakan pelbagai kelengkapan peralatan pergigian dibeli di laman beli belah dalam talian.

Tidak hanya hebat berlakon sebagai doktor gigi tanpa tauliah, malah ada antaranya mendakwa mahir dalam rawatan perubatan kecantikan dan estetik.

Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kegiatan itu dibongkar hasil operasi khas dan risikan dilakukan sejak beberapa bulan lalu.

Susulan dari maklumat dikumpulkan itu, satu serbuan dilakukan terhadap tiga premis di Johor, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai pergigian penguatkuasa bersama pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan KKM dari Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Program Kesihatan Pergigian selain dibantu anggota & pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PIHAK KKM melakukan soal siasat terhadap suspek yang ditahan.
PIHAK KKM melakukan soal siasat terhadap suspek yang ditahan.

"Hasil serbuan 'Ops Gempur Johor' di premis pertama dan kedua mendapati pemiliknya menjalankan rawatan pergigian dan perubatan estetik secara haram.

"Ia jelas satu kesalahan serius berikutan rawatan itu hanya boleh dijalankan oleh pengamal pergigian berdaftar dan pengamal perubatan berdaftar yang mempunyai sijil pentauliahan Letter of Credentialing & Privileging (LCP).

"Dua premis ini berselindung di sebalik perniagaan pusat kecantikan mewah bagi mengaburi kegiatan," katanya.

Manakala menurutnya, premis ketiga diserbu membabitkan sebuah rumah kediaman yang dijadikan klinik pergigian dengan menawarkan khidmat pemasangan pendakap gigi, diamond serta veneer.

"Seramai tiga individu yang juga suspek utama diberkas dalam operasi itu membabitkan individu berudia 20-an hingga 30-an.

"Siasatan mendapati pemilik premis pertama dan kedua ini mengenakan caj tinggi bagi perkhidmatan gigi dan perubatan estetik yang ditawarkan. Mereka turut dikesan menawarkan khidmat scalling dan menampal gigi," katanya.

PERALATAN dan bukti operasi haram ditemui hasil serbuan pegawai KKM di sebuah premis di Johor Bahru.
PERALATAN dan bukti operasi haram ditemui hasil serbuan pegawai KKM di sebuah premis di Johor Bahru.

Menurutnya, suspek premis pertama (wanita) yang disoal siasat mengaku menawarkan khidmat berkenaan serta menyedari ia satu kesalahan serius.

"Namun suspek (lelaki) di premis kedua hanya mengaku menjalankan rawatan pergigian namun tidak mengaku menawarkan rawatan estetik walaupun pegawai KKM menemui alatan dan bukti fizikal.

"Mereka sepatutnya hanya dibolehkan memberi rawatan kecantikan dan spa. Namun apa dilakukan tidak ubah seperti doktor bertauliah apabila mereka melakukan rawatan perubatan dan pergigian.

"Hasil dari pemeriksaan yang dilakukan, kami percaya mereka menawarkan pelbagai rawatan lain termasuk suntikan botox, PRP, vitamin C dan lain-lain rawatan untuk kecantikan.

"Ini susulan penemuan mesin centrifuge bagi tujuan rawatan plasma transfuse. Kebiasaannya rawatan ini adalah bagi menghilangkan jerawat, mencantikkan wajah serta 'awet muda'

Kesalahan yang dijumpai adalah di bawah Seksyen 62(1) Akta pergigian 2018 dan Seksyen 4(1) Akta Kemudahan & Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) iaitu menyediakan klinik perubatan dan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Akta ini.

"Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 12:00 PM