Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Kebolehan dimiliki tidak terjangkau dek akal apabila mereka mampu 'mencipta' sesuatu yang tidak pernah wujud secara semula jadi pada wajah manusia.

Apa sahaja diidamkan sama ada hidung mancung, lesung pipit palsu, bibir merah mungil, bulu kening kekal atau memutihkan kulit secara ekspres mampu dilakukan dengan caj bayaran ribuan ringgit.

Itu antara khidmat rawatan kecantikan estetik haram ditawarkan sekumpulan gadis warga Indonesia di sebuah premis kecantikan di Subang Jaya, Selangor, susulan risikan dan penyamaran dilakukan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak beberapa bulan lalu.

Kegiatan menyalahi etika perubatan itu dibongkar susulan operasi khas dilakukan sekumpulan pegawai KKM bersama sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), baru-baru ini.

Sumber berkata, rawatan estetik haram itu yang diiklankan melalui media sosial termasuk TikTok mendapat sambutan luar biasa membabitkan golongan gadis, wanita bekerjaya, artis dan golongan orang kenamaan (VIP).

"Tanpa sebarang latar belakang pendidikan dalam bidang perubatan, rata-rata gadis 'seberang' berusia awal 20-an ini berlagak tidak ubah seperti doktor atau pengamal perubatan estetik bertauliah," katanya.

Sumber berkata, ketika serbuan dilakukan jam 12 tengah hari, pihak KKM mendapati kumpulan wanita warga asing terbabit sedang memberi 'rawatan' kepada beberapa pelanggan tempatan.

SEMUA gadis warga asing terbabit ditahan imigresen untuk tindakan lanjut.
SEMUA gadis warga asing terbabit ditahan imigresen untuk tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tiada kelayakan sebagai pengamal perubatan estetik serta berani melakukannya secara haram.

"Rata-rata mereka memasuki negara ini dan menyalahguna pas pelancong sebelum diambil berkhidmat di pusat kecantikan itu. Berdasarkan soal siasat awal, mereka mendakwa menerima latihan dan tunjuk ajar melakukan pelbagai bentuk rawatan itu dari pemilik premis yang juga bukan doktor bertauliah," katanya.

Menurutnya, seorang lelaki yang dipercayai rakan kongsi pemilik premis berusia 30-an turut disoal siasat dan diambil keterangan.

"Pegawai KKM turut memeriksa tingkat tiga premis itu sebelum menemui bukti deretan katil yang digunakan ketika sesi rawatan pelanggan.

"Turut ditemui bukti pelbagai picagari, cecair kimia dan alatan khusus digunakan. Siasatan turut mendapati premis itu menawarkan perkhidmatan veneer gigi, pendakap gigi dan pemutihan gigi secara haram.

"Semua barangan untuk rawatan estatik tidak berdaftar itu kemudian dirampas sebagai bahan bukti," katanya.

ANTARA peralatan yang dirampas.
ANTARA peralatan yang dirampas.

Menurutnya, siasatan mendapati setiap pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat di premis itu perlu membuat tempahan awal atau memperolehi nombor giliran.

"Ini membuktikan khidmat rawatan estatik haram di premis itu mendapat sambutan hangat ramai pelanggan tempatan termasuk ada yang sanggup 'terbang' dari Sabah dan Sarawak.

"Susulan itu kelima-lima gadis warga asing terbabit ditahan pihak JIM untuk siasatan dokumentasi. Di samping itu siasatan turut dilakukan KKM mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) tidak berdaftar atau berlesen selaras dengan ketetapan Seksyen 3 dan / atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 5, akta sama.

"Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Tindakan pengusaha salun kecantikan itu jelas menyalahi undang-undang berikutan hanya pengamal perubatan berdaftar sahaja yang dibenarkan melaksanakan apa-apa prosedur estetik di Malaysia," katanya.

Pada 21 Februari lalu, seramai 21 wanita warga asing membabitkan lima wanita Indonesia dan 16 wanita Vietnam ditahan pihak JIM selepas dikesan menawarkan rawatan kecantikan anggota badan dan juga perkhidmatan rawatan pergigian secara haram.

Undang risiko cacat, kematian

Cacat kekal atau mencari maut. Ia berikutan semakin ramai individu dikesan 'berani mati' mendapatkan rawatan estatik haram popular ditawarkan ketika ini.

Antara rawatan estetik yang menjadi trend adalah sulam bedak, sulam bibir, sulam kening, lesung pipit palsu, memancungkan hidung, memutihkan kulit dan rawatan gigi tanpa menghiraukan bahaya menanti.

Pakar Rawatan Estetika, Mejar (B) Dr Hamidah Mohd Salleh berkata, khidmat rawatan estetik ditawarkan itu adalah rawatan invasif yang perlu dilakukan golongan profesional kesihatan bertauliah.

Menurutnya, golongan ini mempunyai pengetahuan khusus membabitkan anatomi manusia, saraf dan saluran darah pada tubuh.

"Ramai yang ambil ringan bahaya dan kesan buruk di sebalik rawatan haram ini hanya kerana mengejar kesempurnaan fizikal.

"Walaupun ada kes membabitkan kematian pesakit sebelum ini namun kewujudan pusat kecantikan yang menawarkan khidmat haram ini terus wujud. Dalam beberapa kes sebelum ini, rawatan estetik haram menjadi punca kecacatan dan kematian mengejut.

"Secara umum, rawatan estatik dilakukan secara haram berisiko menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti hepatitis B, hepatitis C serta HIV.

"Wujud risiko jangkitan jika proses rawatan dilakukan dalam keadaan tidak suci hama, tidak mengikut prosedur yang betul semasa atau selepas rawatan," katanya.

ANTARA kesan sampingan rawatan estetik haram.
ANTARA kesan sampingan rawatan estetik haram.

Menurutnya, wujud komplikasi lain termasuklah kecacatan kekal pada kulit muka dan bibir pelanggan susulan kesilapan prosedur membabitkan saluran darah atau saraf penting.

"Akibatnya kecacatan kekal boleh berlaku seperti hilang anggota muka antaranya hidung, otot muka lumpuh dan bibir senget sekiranya tercedera pada saraf.

"Prosedur rawatan ini turut mengakibatkan bahaya jangkitan pada lapisan dalam kulit atau ke dalam saluran darah yang menghubungkan muka dan otak.

"Ia boleh menyebabkan jangkitan kuman sehingga ke otak (meningitis atau encephalitis) serta saraf mata menyebabkan mata buta," ujarnya.

Dr Hamidah berkata, kesan sampingan bius digunakan 'doktor' haram ini tanpa mengikut sukatan dos turut boleh mengakibatkan reaksi alahan, kesukaran bernafas sehingga boleh membawa maut.

"Sebagai pengamal perubatan yang patuh syariah, sebarang rawatan yang mengubah kejadian asal ciptaan Tuhan atau menyebabkan bahaya pada tubuh badan dan nyawa adalah tidak sejajar dengan ajaran Islam," katanya.

'Haram ubah ciptaan Allah kerana nak cantik'

Ramai yang taasub untuk cantik hingga sanggup membazirkan wang serta melanggar hukum agama.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan Irsyad Al-Fatwa memaklumkan hukum rawatan kosmetik bertujuan kecantikan yang menyebabkan pengubahsuaian bentuk ciptaan Allah SWT adalah haram.

Ia termasuk perkhidmatan V-Shape face (muka berbentuk V), sulam bedak kekal dan suntikan filler pada rahang bagi mendapatkan dagu runcing.

Menurut kenyataan itu, suntikan filler membabitkan kimia botulinum toxin turut digunakan untuk membentuk hidung, cuping telinga dan menghilangkan kedutan wajah.

"Merujuk kepada Keputusan Fatwa Kebangsaan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke- 74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 bersetuju memutuskan supaya negeri-negeri mewartakan fatwa pengharaman suntikan Botulium Toxin Type A (Botox cosmetic).

"Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang Allah SWT tetapkan pada makhluknya sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya. Malah, terdapat hadis yang boleh dikaitkan dengan larangan merubah ciptaan Allah SWT sepertimana diriwayatkan Abdullah Mas'ud RA bahawa Nabi SAW bersabda [Allah SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana ia merubah ciptaan Allah SWT.

"Segala kaedah sama ada membabitkan pembedahan plastik atau suntikan yang menyebabkan perubahan daripada bentuk asal bagi tujuan kecantikan adalah haram," kata kenyataan itu.

Begitu juga hukum bagi sulam bedak membabitkan proses memasukkan serum ke dalam pigmen kulit menggunakan jarum mikro.

"Walaupun rawatan sulam bedak bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) diharuskan selagi tidak mengubah ciptaan Tuhan, tanpa sebarang perubahan yang bersifat kekal dan tidak menghalang air sampai ke permukaan kulit muka namun ia diharamkan jika bersifat kekal menggunakan teknik sama seperti tatu.

"Justeru, kosmetik yang boleh mendatangkan kemudaratan pada kulit wajah perlu dielakkan. Sekiranya penggunaan sulam bedak memberi risiko bahaya dan diakui oleh pembuktian kajian saintifik yang menyatakan sulam bedak mendatangkan risiko (mafsadah) yang lebih besar berbanding manfaatnya maka ia dilarang atas kemudaratan yang berlaku.

"Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah). Adapun, rawatan kosmetik sulam bedak bersifat kekal seperti kaedah tatu mahupun mendatangkan risiko adalah dilarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 12:30 PM