Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Setiap kali tatap wajah Fariz, kerap air mata saya berlinangan kerana terkenangkan tragedi pahit yang mengorbankan ibu bapa serta adiknya dalam nahas jalan raya tiga tahun lalu," kata Che Senah Che Awang.

Che Senah, 65, berkata, nahas jalan raya tiga tahun lalu di Sungai Siput, Perak mengorbankan anaknya, Lans Koperal Mohamad Faiz Bukhari, 28, menantu, Nik Idayu Nik Hasan, 30, cucu bongsu, Mohammad Faqih Irshad Mohamad Faiz, 2, serta adik ipar Mohamad Faiz, Nik Ifieka Nik Hassan, 28, ketika dalam perjalanan pulang selepas makan malam.

Dia berkata, dalam kemalangan itu hanya Mohammad Fariz Iskandar, 3, selamat namun lumpuh dari pinggang ke bawah.

"Selepas kemalangan itu, Fariz dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPP), Ipoh hampir sebulan kerana parah di kepala, punggung dan kaki.

"Kemalangan itu menyebabkan cucu saya kini lumpuh dan hanya boleh mengesot saja manakala pertuturannya juga mengalami masalah.

"Walaupun sudah tiga tahun berlalu, ingatan terhadap anak, menantu dan cucu tetap segar dan setiap kali melihat wajah Fariz, rasa sebak gagal ditahan sehingga mengalirkan air mata," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambu, di sini, hari ini.

CHE Senah melihat gambar arwah bersama menantu dan cucunya yang maut dalam nahas jalan raya di Sungai Siput, tiga tahun lalu. FOTO Siti Rohana Idris
CHE Senah melihat gambar arwah bersama menantu dan cucunya yang maut dalam nahas jalan raya di Sungai Siput, tiga tahun lalu. FOTO Siti Rohana Idris

Che Senah berkata, kerinduan yang tidak terbendung menyebabkan dia menziarah pusara tiga beranak itu setiap kali Jumaat dan adakala turut dibawa Mohammad Fariz Iskandar bersama.

Katanya, memandangkan Mohammad Fariz Iskandar tidak dapat menguruskan diri sendiri, rutin harian anak syurga itu digalasnya bersama suami termasuk anak bongsu, Mohamad Fariz Izuan Bukhari, 21, yang sentiasa ada di sisi cucunya itu.

"Sejak kemalangan itu juga Fariz enggan makan nasi sebaliknya hanya memilih biskut bersama air sirap saja dan itulah menunya sejak tiga tahun lalu yang menimbulkan rasa pelik kepada kami," katanya yang turut menghidap kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi.

Terdahulu mereka menerima kunjungan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob yang menyampaikan sumbangan baju raya serta wang tunai buat anak yatim piatu itu.

Nora berkata, Mohammad Fariz Iskandar menerima pencen penakat kedua ibu bapanya sejak tiga tahun lalu berjumlah RM532 dan RM445 sebulan memandangkan keduanya pernah mencarum ketika bekerja di sebuah kilang di Padang Tembak dulu.

"Fariz juga diambil sebagai anak angkat Perkeso dan kami baru saja menguruskan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Tanjong Mas di sini di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 1:24 PM
NORA memakaikan baju Melayu kepada Fariz yang kehilangan kedua ibu bapa dan adik dalam nahas jalan raya tahun lalu. FOTO Siti Rohana Idris
NORA memakaikan baju Melayu kepada Fariz yang kehilangan kedua ibu bapa dan adik dalam nahas jalan raya tahun lalu. FOTO Siti Rohana Idris