GAMBAR fail menunjukkan keadaan kereta. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail menunjukkan keadaan kereta. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


KANAK-kanak yang terbabit dalam kemalangan empat maut termasuk ibu dan bapanya di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar pada 13 Februari lalu, masih koma.

Ibu saudaranya, Nik Izati Nik Hassan, 23, berkata Muhammad Fariz Iskandar Muhammad Faiz berusia tiga tahun kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Menurutnya, keadaan Muhammad Fariz sudah stabil namun belum sedarkan diri.

“Doktor memberi ubat supaya Fariz tidak sedarkan diri kerana tidak mahu berlaku pergerakan. Pembedahan juga sudah selesai dilakukan di peha dan Fariz dijangka dalam keadaan koma selama sebulan.

“Sehingga kini tiada siapa yang menunggunya memandangkan Muhammad Fariz berada di ICU, namun seorang ibu saudara Muhammad Fariz bekerja di hospital berkenaan dan sering memantau perkembangannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Izati yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, pegawai polis di sana juga sentiasa memaklumkan perkembangan anak saudaranya.

“Apabila Fariz balik nanti, keluarga saya dan keluarga arwah abang ipar akan menjaganya dengan penuh kasih sayang.

“Kami sentiasa berdoa supaya Fariz diberi kesembuhan dan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dalam kejadian 10.20 malam, empat beranak meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh treler muatan bahan binaan berhampiran Kampung Salak Stesen di Sungai Siput, Perak.

Mereka yang meninggal dunia adalah kedua ibu bapa Muhammad Fariz iaitu Mohd Faiz Bakhri, 28; ibu, Nik Idayu, 30; ibu saudaranya, Nik Ifieka, 28 serta adiknya, Muhammad Faqih Irshad, 2.

Dalam kemalangan itu, Muhammad Fariz Iskandar cedera parah di kepala dan patah kaki kanan.

Berita berkaitan:

  • Tanda tapak rumah sebelum dijemput Illahi
  • [UPDATE] Pemandu treler direman empat hari
  • Empat maut, bukan lima [METROTV]
  • Lima termasuk bayi maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 3:12 PM