Norhayati Nordin

Gombak: Pengarah Syamsul Yusof bersyukur dia tidak berdepan halangan untuk bertemu dua anaknya berikutan isteri, Puteri Sarah Liyana disifatkan sangat memberikan kerjasama yang baik.

Syamsul, 39, ditemui berkata, walaupun rumah tangga mereka berhadapan masalah yang belum berpenghujung, dia dan Sarah tetap profesional dalam hal berkaitan anak-anak mereka.

"Syukur Alhamdulillah, saya ada berjumpa anak-anak. Sarah pun beri kerjasama dengan baik. walaupun saya tahu dia ada failkan tuntutan hadanah, hak penjagaan anak.

"Walaupun selama ini Sarah dan saya ada masalah, kami tetap profesional tentang anak," katanya menegaskan tidak merebut cahaya mata mereka daripada isterinya itu. 

SYAMSUL (kiri) ditemui sebaik selesai prosiding sebutan pertama kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syarie Gombak Timur. FOTO Fathil Asri
SYAMSUL (kiri) ditemui sebaik selesai prosiding sebutan pertama kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syarie Gombak Timur. FOTO Fathil Asri

Terdahulu, Syamsul ditemui sebaik selesai prosiding sebutan pertama kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syarie Gombak Timur, Kuala Lumpur, di sini tadi.

Sebelum ini, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac lalu dengan alasan isterinya masih menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang.

Alasan lain dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz dibuat termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014.Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 12:00 PM