Norhayati Nordin

Gombak: Sebutan kes nusyuz difailkan oleh pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, hari ini ditetapkan pada tarikh baharu iaitu 8 Mei depan.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof yang ditemani peguam syarie, Azmi Mohd Rais, memberitahu sebutan berkenaan ditangguhkan berikutan Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana urusan kerja di luar negara.

"Hari ini adalah sebutan nusyuz, tapi Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana dia ada urusan di luar negara. 

"Saya pun tak mahu cakap banyak sebab takut salah cakap. Apa-apa pun, doakan yang baik-baik antara saya dan Puteri Sarah sama ada berakhir dengan baik atau tidak," katanya kepada Harian Metro.

Syamsul berkata doakan yang terbaik kerana kadang-kadang kita tidak tahu yang terbaik untuk kita mungkin tak baik untuk kita. Allah Maha Mengetahui. 

"Kita hanya mampu bersangka baik kepada sesiapa saja di luar sana, netizen ke, doakanlah yang terbaik bukan untuk saya saja tapi rakan-rakan artis lain yang berhadapan masalah rumah tangga seperti ini.

"Sebab kita nampak benda ini sudah jadi macam 'trend'. Ini bukan perkara main-main. Ini mengenai kehidupan peribadi dan tidak nampak indah yang disangka. Inilah realiti," katanya.

"Kita doakan yang terbaik. Kadang-kadang kita tak tahu yang terbaik untuk kita mungkin tak baik untuk kita. Allah Maha Mengetahui. Hanya mampu bersangka baik kepada sesiapa saja di luar sana," katanya.

SYAMSUL Yusof hadir untuk sebutan semula tuntutan nusyuz  terhadap isterinya, Puteri Sarah Liana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. FOTO Fathil Asri
SYAMSUL Yusof hadir untuk sebutan semula tuntutan nusyuz terhadap isterinya, Puteri Sarah Liana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. FOTO Fathil Asri

Ditanya juga mengenai keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerainya pada Isnin depan, Syamsul berkata dia reda dengan apa saja yang bakal berlaku.

"Insya-Allah saya cuba reda dengan apa saja, mudah-mudahan begitu juga dengan isteri saya, Puteri Sarah. Saya pun tak mahu mengeluarkan kenyataan yang akan melukakannya (Puteri Sarah) lagi. 

Harap semua ini boleh selesai dengan baik saja," katanya

Terdahulu, Syamsul tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, kira-kira jam 9.10 pagi bagi sebutan pertama kes nusyuz terhadap isterinya, Puteri Sarah. 

Sebelum ini, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah ini. 

Sementara itu, Puteri Sarah tidak hadir dan hanya mewakilkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 11:03 AM