Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion dan 4.75 peratus untuk Simpanan Shariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion, menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk tahun 2022 sebanyak RM51.14 bilion.

Setakat 31 Disember 2022, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilion, berbanding RM68.89 bilion pada 2021, didorong oleh ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, di sebalik kemelesetan pasaran global yang berterusan pada 2022, portfolio pelaburan KWSP kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran kemelesetan ini dengan impak yang minimum.

Katanya, ini sebahagian besarnya dipacu oleh strategi yang menekankan kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP.

AMIR pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP 2022 di Menara KWSP. FOTO Asyraf Hamzah
AMIR pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP 2022 di Menara KWSP. FOTO Asyraf Hamzah

"Portfolio KWSP yang pelbagai dan kecairan yang sihat membantu mengurangkan risiko dan membolehkan KWSP untuk mengekalkan aset pelaburannya melebihi RM1 trilion dan mengisytiharkan kadar dividen yang baik untuk 2022.

"Pembayaran sebanyak RM51.14 bilion ini akan memanfaatkan lebih daripada 15 juta ahli KWSP, termasuk ahli daripada sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif.

"Kami percaya dividen ini serta pengukuhan prestasi KWSP yang berterusan akan memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, terutamanya apabila dilihat dari aspek jangka masa panjang.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kami akan terus mengutamakan kejayaan jangka panjang portfolio pelaburan kami dan membina semula simpanan persaraan ahli kami," katanya di taklimat media pengumuman prestasi kewangan KWSP di sini, hari ini.

Tahun kewangan 2022 menyaksikan pertumbuhan global yang lebih perlahan dan kenaikan kadar inflasi yang tinggi, ditambah dengan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama untuk mengekang tekanan inflasi.

Pasaran pendapatan tetap juga gagal mencatatkan prestasi yang baik apabila indeks bon merekodkan pulangan negatif untuk tahun yang sama, sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil bon yang tinggi berikutan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan.

Ketidakstabilan geopolitik juga adalah faktor utama mempengaruhi pergerakan pasaran, dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah melonjakkan harga komoditi, ditambah dengan pergolakan antara AS dan China.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 1:50 PM