Redzuan Muharam


Shah Alam: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah pembayaran sebanyak RM50.3 bilion dan 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM7.5 bilion, menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk tahun 2023 sebanyak RM57.8 bilion.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, setakat 31 Disember 2023, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih tinggi sebanyak RM66.99 bilion.

Jumlah itu meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022.

Katanya, jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun berkenaan.

"Kepelbagaian portfolio KWSP dan pengurusan dana yang aktif membolehkan kita mengisytiharkan kadar dividen lebih baik untuk tahun lalu.

"Agihan dividen sebanyak RM57.8 bilion akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua-dua sektor formal dan tidak formal.

"KWSP berupaya memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan tahun lalu, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan," katanya ketika taklimat media mengenai pengumuman prestasi kewangan KWSP di sini, hari ini.

Ahmad Zulqarnain berkata, walaupun berhadapan dengan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau, serta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi di luar jangkaan.

"Ini memberikan pelabur institusi seperti KWSP untuk menguruskan kepelbagaian portfolionya secara aktif dan merebut peluang untuk meningkatkan pulangan.

"Selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi Simpanan Konvensional adalah 2.89 peratus dan 2.51 peratus untuk Simpanan Shariah pada asas tiga tahun iaitu bermula 2021 hingga tahun lalu.

"Ia melebihi sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya dua peratus dividen sebenar dalam tempoh yang sama," katanya.

Menurut Ahmad Zulqarnain, ketidaktentuan pasaran tahun lalu menekankan kepentingan KWSP mempunyai strategi pelaburan yang teguh dan pengurusan risiko yang berhemat.

Katanya, gandingan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan pengurusan portfolio yang aktif membolehkannya mencapai keputusan yang baik untuk 2023.

"Selaras dengan SAA dan pengurusan risiko yang berhemat, keupayaan KWSP untuk memberikan dividen yang stabil mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelabur institusi negara yang dipercayai.

"Ini juga menyumbang kepada tambahan nilai simpanan ahli, seterusnya menyediakan jaminan kewangan semasa tempoh persaraan ahli," katanya.

Tahun kewangan 2023 menyaksikan prestasi bercampur-campur dalam pasaran ekuiti global, terutamanya antara Asean berbanding pasaran maju.

Indeks penanda aras ekuiti pasaranmaju menyaksikan pertumbuhan positif, walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kadar faedah dasar tertinggi sejak 1980-an untuk mengekang tekanan inflasi.

Di peringkat serantau, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan Asean menyaksikan pertumbuhan negatif dengan FBM KLCI merosot 2.7 peratus.

Di sebalik penurunan itu, KWSP menguruskan portfolionya secara aktif untuk menjana pendapatan daripada ekuiti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 10:54 AM