KES membabitkan Indra Wijaya (kiri) dan Zii Jia dibawa ke Mahkamah Perusahaan. FOTO FAIL BAM
KES membabitkan Indra Wijaya (kiri) dan Zii Jia dibawa ke Mahkamah Perusahaan. FOTO FAIL BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada jalan penyelesaian dicapai dengan pasukan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia memutuskan untuk membawa kes membabitkan bekas jurulatihnya, Indra Wijaya ke Mahkamah Perusahaan.

Minggu lalu berlangsung pertemuan antara pasukan Zii Jia dan Indra selepas diberi tempoh seminggu oleh Jabatan Hubungan Industri.

Namun tiada sebarang kata sepakat dicapai dan kes berkenaan dijangka akan dibawa ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, pengurus Zii Jia, Lee Zii Yii enggan memberi komen lanjut berhubung kes berkenaan.

"Itulah keputusannya. Saya tidak mempunyai sebarang komen mengenai yang berkaitan dengan jurulatih (Indra).

"Kami menghormati Jabatan Hubungan Industri tapi buat masa ini kami tidak mendengar apa-apa dari mereka," kata Zii Yii.

Pada 27 November tahun lalu, Indra, 48, mengesahkan dia berpisah dengan Zii Jia selepas sembilan bulan menjadi jurulatih pemain nombor empat dunia itu.

Susulan perpisahan itu, Indra dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Zii Jia atas dakwaan pelanggaran kontraknya sebagai jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 4:40 PM