INDRA (kiri) tidak lagi melatih Zii Jia. FOTO AKIB NSTP
INDRA (kiri) tidak lagi melatih Zii Jia. FOTO AKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak lagi menggunakan khidmat pengendali kelahiran Indonesia, Indra Wijaya dan perkara itu disahkan pengurusnya, Lee Zii Yii.

Menurut Zii Yii yang juga kakak kepada pemain ranking nombor dua dunia itu, mereka dengan berasa sedih hati mengumumkan sudah berpisah dengan Indra.

"Dengan rasa sedih yang mendalam, pasukan Lee Zii Jia memutuskan untuk berpisah secara baik dengan jurulatih, Indra.

"Kami amat menghargai usaha yang dilakukan Indra untuk Zii Jia dan pasukan," kata Zii Yii.

Bagaimanapun, Zii Yii berkata, Indra akan sentiasa diingati sebagai mentor penting kepada Zii Jia dan pasukan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

"Kami mendoakan yang terbaik kepada Indra dalam usaha beliau pada masa akan datang," kata Zii Yii yang juga bekas pemain perseorangan wanita negara.

Sementara itu, Indra berkata, keputusan dibuat itu terhasil daripada perbincangan Jumaat lalu dan beliau sendiri berasa terkejut.

"Jumaat lalu ada perbincangan dengan pengurus dan Zii Jia sendiri dan mereka memutuskan untuk mencuba cara dan pengalaman baru bergerak tanpa jurulatih.

"Itu alasan diberikan berdasarkan perbincangan berkenaan dan saya faham serta mengerti apa yang dimahukan Zii Jia. Saya menghargai setiap perancangan ingin dilaksanakannya dan kami berpisah dengan cara baik," kata Indra yang pernah berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurutnya, buat masa sekarang beliau tidak mempunyai perancangan lain dan terbuka untuk menerima tawaran daripada mana-mana negara mahupun pemain yang mahukan khidmatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 6:22 PM