LEE Zii Jia. FOTO Aswadi Alias
LEE Zii Jia. FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Shah Alam: Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia mengakui penubuhan kelab baharu atas namanya semata-mata mahu mengambil jurulatih perseorangan wanita negara Indra Wijaya sebagai tenaga pengajarnya.

Juara Seluruh England tahun lalu itu berkata, dia kemungkinan akan mengambil beberapa individu lain bagi 'memperkukuhkan' lagi Kelab Badminton Lee Zii Jia sekali gus membantunya memantapkan lagi persembahan dalam usaha mempersiapkan diri ke temasya Olimpik Paris 2024.

Zii Jia berkata, Indra dianggap seperti bapa selain antara individu yang bertanggungjawab menggilap bakatnya sehingga berjaya mengecapi kejayaan sebagai pemain utama perseorangan negara.

"Seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker memang benar tubuhkan kelab terbabit dengan Indra sebagai jurulatih. Malah, berharap pada masa akan dating akan ada individu lain seperti fisioterapi dan pelatih.

"Indra yang banyak mengajar saya sejak daripada bermain di junior sehinggalah kepada pemain simpanan untuk negara.

"Beliau juga banyak mengajar dan sentiasa fokus kepada pemain. Hanya beliau saja saya pilih sebagai jurulatih," katanya, ketika ditemui di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam.

Terdahulu Lian Ker memaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof sudah meluluskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia sekali gus membolehkan pemain perseorangan lelaki profesional negara itu melantik Indra sebagai jurulatihnya.

Malah Indra ketika dihubungi mengesahkan dia akan membimbing Zii Jia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia namun mengambil pendekatan berdiam diri kerana mahu memberi laluan kepada pengurusan Kelab Badminton Lee Zii Jia memberikan kenyataan kepada umum.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh pula mengesahkan pihaknya menerima keputusan jurulatih berasal dari Indonesia berkenaan sekali gus melepaskan beliau untuk memilih haluannya sendiri.

Mengikut rekod, Indra mula bersama BAM pada 2015 yang mana ketika itu dia diberi tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan lelaki sebelum ditukarkan kepada perseorangan wanita pada 2020 sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 7:00 PM