SYAZLIN Hafisya bersama ayam jantannya, Rembo. FOTO Ihsan Syazlin Hafisya.
SYAZLIN Hafisya bersama ayam jantannya, Rembo. FOTO Ihsan Syazlin Hafisya.
Noor Hidayah Tanzizi


Kulim: "Nanti kita jumpa dekat syurga tau. Kakak minta maaf sangat-sangat, kakak sayang Rembo tetapi kakak tiada pilihan lain. Kakak tak mahu Rembo lagi terseksa hidup dalam keadaan seperti ini."

Itu luahan sayu Syazlin Hafisya Mohd Hasni, 21, terpaksa merelakan ayam jantan peliharaan yang dinamakan Rembo disembelih kerana mempunyai masalah di kedua-dua kakinya.

Kisah Syazlin Hafisya yang tinggal di Taman Selasih, di sini, mendapat perhatian warga TikTok selepas videonya bercerita mengenai Rembo sambil ditemani haiwan itu dimuat naik di aplikasi itu, baru-baru ini.

Perkongsian pencinta haiwan yang menggelarkan dirinya sebagai 'Kakak Raptor' itu bukan sahaja meraih tontonan ramai, malah meruntun hati netizen yang turut sebak mendengar suaranya menahan tangis ketika bercerita.

Malah, ada menyifatkan kisah itu 'unik' kerana haiwan yang disayanginya itu seekor ayam kerana biasanya kisah seumpama itu banyak membabitkan haiwan peliharaan seperti kucing.

Berkongsi cerita, Syazlin Hafisya berkata, Rembo adalah ayam yang ditemui di hadapan rumahnya dalam keadaan kedua-dua kakinya patah, empat tahun lalu tanpa mengetahui pemilik sebenarnya.

Katanya, haiwan itu hanya duduk memandangnya seolah-olah meminta bantuan sebelum disedari tidak boleh berjalan sempurna dan menggunakan bahagian lutut belakangnya untuk berjalan.

"Saya cuba pelbagai cara bukan sahaja bawa ke klinik haiwan dan turut mengurut kakinya tetapi kakinya tidak sembuh. Doktor cakap memang tak boleh sembuh dan akan kekal seperti itu sahaja.

"Sejak itu saya bela dan meletakkannya di belakang rumah dengan menyediakan satu sangkar untuk Rembo tidur pada waktu malam. Apabila Subuh dia akan keluar dan berkokok mengejutkan kami," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sejak beberapa bulan lalu kesihatan Rembo dilihat merosot, semakin sukar makan dan berjalan menyebabkan ibu, Salmiah Shaari, 48, mengambil keputusan menyembelihnya supaya tidak semakin terseksa.

Katanya, biarpun keputusan itu sukar diterima tetapi dia akur ia adalah pilihan terbaik untuk ayam jantan kesayangannya itu.

"Saya juga percaya haiwan ada perasaan dan itu dirasai Rembo yang sedih ketika diberi kepada pakcik untuk disembelih.

"Pada saya Rembo sangat istimewa, dia selalu berkokok ketika saya buat video dan saya juga sangat menyayanginya. Saya tidak pernah menangis kerana ayam tetapi Rembo buat saya menangis dua hari mengenangkannya," katanya.

Bercerita lanjut, anak tunggal itu berkata, selain Rembo, dia juga mempunyai lebih 30 jenis haiwan peliharaan termasuk tujuh ular sawa, iguana, tupai tanah Afrika, arnab, sugar glider dan enam kucing yang semuanya disimpan di rumahnya.

"Saya memang suka haiwan sejak dari kecil dan mula menyelamatkan haiwan sakit sejak berusia 13 tahun. Dulu kami bela 80 kucing tetapi sejak banyak mati diserang virus serta dicuri orang, saya mula minat dan bela haiwan eksotik pula.

"Ibu dan ayah (Mohd Hasni Hassan, 54) juga berkongsi minat sama. Kami buat mini zoo ala 'petting zoo' dan sertai mana-mana acara atau program, tak sangka dari hobi sudah menjadi sumber pendapatan pula.

"Saya juga mempunyai lesen dan permit pameran haiwan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya.

Menurutnya, video yang dimuat naik di TikTok itu sehari selepas Rembo disembelih dan adalah video terakhir dirakam bersama ayam jantan itu untuk kenangannya.

"Saya terkilan juga sebab tak banyak gambar Rembo atau videonya dalam simpanan. Saya simpan video di TikTok untuk kenangan dan saya hargai semua kata positif diberi netizen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 8:00 PM