Izad Thaqif Hassan


Kulim: Ketika rakan seusia bermain dengan anak patung atau pondok-pondok, lain pula dengan Syazlin Hafisya Mohd Hasni apabila dia 'memburu' haiwan berbisa iaitu anak kala jengking yang dicari di celahan batu berhampiran rumahnya sebelum dikumpul dalam botol sejak berusia lima tahun.

Dia yang lebih selesa disapa sebagai Syazlin dan kini sudah berusia 20 tahun itu berkata, minatnya sejak kecil lebih cenderung kepada haiwan berbisa selain gemar menonton saluran dokumentari antaranya National Geographic dan Animal Planet.

"Selepas tahu minat saya, ayah menghadiahkan ensiklopedia tentang haiwan yang sehingga kini masih disimpan dan melalui pembacaan serta menonton program dokumentari ia menjadi inspirasi untuk saya terus mendalami ilmu tentang haiwan.

"Saya kemudian mula 'jatuh cinta' dengan haiwan eksotik dan mengumpul wang belanja sekolah untuk membeli seekor iguana berharga RM280 enam tahun lalu dengan ditemani ibu dan ayah di sebuah kedai haiwan peliharaan," katanya yang menjadikan Steve Irwin dan anak-anaknya sebagi inspirasi dan idola.

Menurutnya, Green Iguana diberi nama Izzy itu dibela sejak kecil dan kerana terlalu minat dia cuba mencari ilmu tentang habitat dan cara penjagaan haiwan eksotik terbabit di laman sesawang dan media sosial.

"Ketika sedang melayari internet, banyak lagi paparan menunjukkan haiwan eksotik lain yang turut menarik perhatian dan ini membuatkan saya yang pada mulanya hanya mahu membela iguana mula tertarik dengan haiwan lain.

"Saya kemudian menceritakan kepada ayah tentang haiwan eksotik lain yang dilihat dalam internet dan ayah juga turut tertarik sebelum dia membeli Red Iguana bernilai RM1,500," katanya yang mengakui ibu, Salmiah Shaari, 47, pada mulanya tidak gemar dengan hobi mereka ketika itu.

SYAZLIN bersama ibu dan bapanya bersama sebahagian haiwan peliharan eksotik mereka di rumahnya dekat Taman Selasih, Kulim. FOTO Luqman Hakim Zubir
SYAZLIN bersama ibu dan bapanya bersama sebahagian haiwan peliharan eksotik mereka di rumahnya dekat Taman Selasih, Kulim. FOTO Luqman Hakim Zubir

Menurutnya, selain geli ibunya mendakwa perbuatan dan hobi mereka itu satu pembaziran namun ayah, Mohd Hasni Hassan, 53, menunjukkan minat banyak merujuk denganya selain mula melayari laman sesawang dan media sosial untuk mempelajari ilmu tentang haiwan eksotik.

"Lama-kelamaan, ayah juga mula mengikut hobi saya dan kami berdua pernah membeli haiwan eksotik ini secara diam-diam tanpa pengetahuan ibu.

"Namun, selepas setiap hari melihat kami bersama haiwan eksotik di rumah, perasaan gelinya (ibu) mula hilang dan ayah serta saya mula mengajar cara menjaga dan mendekati haiwan terbabit membuatkan ibu juga akhirnya turut menunjukkan minat dengan hobi ini," katanya yang ditemui di Taman Selasih, di sini.

Bermula daripada hanya beberapa ekor, kini tiga beranak terbabit sudah mempunyai koleksi 23 haiwan eksotik yang dibeli dengan harga serendah RM40 hingga mencecah RM1,500 dan nilai semua koleksi haiwan yang ada itu mencecah hampir RM14,000.

Dua daripadanya dihadiahkan pengikut TikTok Syazlin iaitu Albino Pacman Frog berharga RM250 dan sepasang Sulcata Tortoise berharga RM1,000.

Melihat banyak koleksi dimiliki mereka, si ibu yang pada mulanya menentang keras dengan hobi suami dan anaknya mula memberi idea untuk membuat pameran bergerak pada 2017 dan terkejut apabila diberitahu menjadi orang pertama di negeri ini yang memohon lesen serta permit membela dan mempamer haiwan eksotik daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah.

Sejak daripada itu, hobi keluarga berkenaan mula menjadi punca pendapatan sampingan buat mereka selepas banyak undangan daripada pelbagai agensi terutama sekolah yang mendapatkan khidmat untuk pameran haiwan eksotik dalam pelbagai program dianjurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 5:13 PM