Aizat Sharif


Arau: Penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan bahawa beliau akan terus mempertahankan kerusi itu dengan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Ketua Umno Bahagian Arau yang digugurkan daripada bertanding itu berkata, keputusan dibuat disebabkan beliau melihat PN mampu menyatukan Umno, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam platform yang sama.

"Saya akan bertanding atas satu parti yang berasaskan Umno, Pas dan Bersatu yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara walaupun Umno pun memperjuangkan agama, bangsa dan negara namun ia kini dipimpin oleh seorang yang mengkhianati keputusan bahagian terutama di Arau.

"Jadi kalau perkiraan ini diambil untuk menjadi pemimpin, saya kira tak layak lah kerana saya sudah menjadi pengarah pilihan raya sebanyak lima kali dan kami tidak pernah ganggu bahagian masing-masing tetapi jika dilihat calon yang bertanding kali ini sangat menyedihkan apabila tiada satu pun senarai calon yang diutarakan oleh bahagian dipilih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Khidmat Datuk Seri Shahidan Kassim di Kubang Gajah, di sini hari ini.

Terdahulu, media yang bertemu dengannya juga dikejutkan dengan kehadiran Pengerusi PN Perlis, Shukri Ramli yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis di pusat khidmat beliau.

Ini menguatkan lagi spekulasi bahawa Shahidan kini sudah bersedia untuk diangkat sebagai calon PN bagi merampas Parlimen Arau dari Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, satu pengumuman rasmi bagi calon PN Perlis yang akan bertanding di Parlimen Arau akan dilakukan di Kompleks Pas Perlis, Kangar malam nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 3:02 PM