Aizat Sharif


Arau: Umno Bahagian Arau berharap Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dapat memberikan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun tokoh politik Itu mengumumkan tidak akan bertanding kali ini.

Ketua Umno Bahagian Arau Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya menghormati keputusan Hashim atau lebih mesra dipanggil 'Ustaz Hashim' yang mengundurkan diri sebagai calon Pas di Perlis pada PRU ini.

"Kita menghormatilah keputusannya, (Ustaz Hashim) ini adalah sahabat baik saya malah kami pun pernah bertanding bersama dan dia tetap sahabat baik saya.

"Kita tahu bahawa pihak kami (BN) sudah laksanakan terbaik, malah saya memberi perhatian kepada rakyat kepada semua orang baik orang Umno, Pas, Cina, India dan Siam dan kita beri perlindungan kepada semua rakyat dan dia mengetahui itu," katanya selepas menghadiri dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India Parlimen Arau sempena Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Parlimen Arau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min, Pauh, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya sentiasa mentadbir Parlimen Arau dengan sebaik mungkin dan Umno sentiasa mendoakan agar dia sentiasa sihat.

"Ustaz Hashim Jasin sahabat saya dan saya percaya di akhir kehidupan ini semua pihak sudah pasti berkehendakkan yang terbaik maka jika boleh dia dapat menyokong kami dalam PRU nanti," katanya.

Terdahulu, Shahidan menyantuni seramai 400 orang masyarakat India di Parlimen Arau dalam sambutan Deepavali di dan menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang makanan kepada golongan B40 yang terdiri daripada warga emas, anak yatim serta golongan kurang bernasib baik.

Semalam, Hashim mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRU kali ini.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Arau selepas merampas kawasan berkenaan daripada penguasaan BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Arau 1998 berikutan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Kamaruddin Ahmad.

SHAHIDAN (tengah) menyampaikan sumabgan Deepavali kepada masyarakat India di Parlimen Arau dalam Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Parlimen Arau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min, Pauh, Arau. FOTO Aizat Sharif
SHAHIDAN (tengah) menyampaikan sumabgan Deepavali kepada masyarakat India di Parlimen Arau dalam Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Parlimen Arau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min, Pauh, Arau. FOTO Aizat Sharif

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 6:27 PM