ANTARA peniaga yang menjalankan perniagaan menggunakan teknik  cedok-cedok di TikTok.
ANTARA peniaga yang menjalankan perniagaan menggunakan teknik cedok-cedok di TikTok.
KAEDAH perniagaan cedok-cedok didapati berjaya menarik perhatian ramai pelanggan untuk mengikuti siaran langsung jualan peniaga di TikTok.
KAEDAH perniagaan cedok-cedok didapati berjaya menarik perhatian ramai pelanggan untuk mengikuti siaran langsung jualan peniaga di TikTok.
Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sistem perniagaan yang menggunakan strategi cedok-cedok dalam aplikasi Tik Tok kini menjadi pilihan segelintir peniaga yang mahu menampilkan kelainan.

Trend yang dipercayai diamalkan ramai peniaga dari China itu menjadi ikutan dalam kalangan peniaga tempatan terutama mereka yang beragama Islam kerana teknik pemasaran baharu itu menarik minat pelanggan.

Namun, trend itu menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan peniaga, netizen dan pakar agama berikutan kaedah jual beli itu boleh dihukum haram kerana ketidaktentuan semasa akad barangan yang diperoleh secara tepat dengan bayaran yang dibuat.

Pelbagai tohmahan dilontarkan kepada peniaga yang membuat live apabila menjual barangan mereka secara cedok-cedok sehinggakan pelbagai kata kesat serta pergaduhan berlaku antara peniaga dan pelanggan.

Bagi peniaga yang mesra dipanggil Mami, dia tidak menafikan kaedah itu berjaya menarik perhatian ramai pelanggan untuk mengikuti siaran langsung jualannya di TikTok apabila meletakkan tanda pagar #cedok.

Namun, katanya, dia menyedari teknik berniaga cedok-cedok salah di sisi hukum syarak.

"Kita sebagai peniaga harus kreatif dan sebelum ini memang ada yang menegur dan menjelaskan konsep cedok itu haram kepada saya.

"Saya terima dengan hati terbuka dan sekarang menjual produk secara pakej di mana setiap set ditentukan harganya dan bagi menghargai pelanggan yang membeli banyak, saya menawarkan percuma sekali satu 'cedok' produk yang mereka pilih.

"Jadi, saya pelbagaikan strategi pemasaran produk dan harga yang dipersetujui pelanggan manakala kaedah cedok itu dijadikan promosi sebagai contoh pelanggan yang membeli dua set produk akan diberi peluang cedok produk lain dengan percuma.

"Itu bagi saya lebih telus dan memang pelanggan suka. Saya akui ramai netizen sekarang agak kurang senang apabila membabitkan teknik cedok, jadi saya tukar konsepnya," katanya yang mempunyai lebih 100,000 pengikut.

Katanya, setiap yang berlaku ada hikmah dan pengajaran, dia sebagai peniaga juga tidak lepas melakukan kesilapan, malah apabila isu mengenai cedok-cedok ini tular, sekurang-kurangnya ramai yang tahu bahawa teknik pemasaran sebegitu salah di sisi agama.

Bagi peniaga di Tik Tok yang mahu dikenali sebagai Wan, dia masih berniaga secara cedok-cedok kerana sudah menjadi punca pendapatan utamanya.

"Memang ada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan (menipu) pelanggan dengan menawarkan produk harga beratus ringgit untuk dicedok, tetapi pelanggan dapat yang sebaliknya apabila terima barang.

"Bagaimanapun, saya mengikut seperti yang disarankan dengan menjual barangan lebih jelas seperti saya akan menimbang dulu barangan dijual dan meletakkan harga yang dipersetujui pelanggan.

"Saya akan beri hadiah sampingan untuk pelanggan yang membeli banyak barangan dan mengirim barang yang betul iaitu sama dengan yang dipilih ketika live.

"Bagi saya berniaga cedok-cedok ini lebih kepada teknik pemasaran yang berbeza, paling penting perlu telus dengan pelanggan, malah ada pelanggan yang teruja menunggu kami membuat promosi ini," katanya.

Peniaga kosmetik di TikTok yang mahu dikenali sebagai Ain berkata, dia hanya mengikut trend semasa dengan mempraktikkan konsep cedok-cedok ketika live.

Dia memang tidak tahu kaedah berniaga itu adalah gharar sehingga boleh menjadi haram dan tujuannya sekadar mencuba teknik pemasaran yang baharu.

"Saya kecewa kerana ada pelanggan yang memaki-hamun dan menuduh saya 'makan' duit haram.

"Kaedah cedok saya sudah buat sebelum timbul lagi isu halal haram dan selepas tahu mengenai hukumnya maka saya memang sudah tidak lagi jual secara cedok.

"Ada juga pelanggan yang memberi teguran dengan baik dan saya terima teguran itu, lagi pula apabila kita berniaga secara online, sudah pasti akan ikut trend yang paling mendapat sambutan," katanya yang mempunyai 7,000 pengikut.

Salah seorang pengguna Tik Tok yang dikenali sebagai Tiylaaaaa berkata, dia mengambil inisiatif menegur peniaga yang berniaga menggunakan kaedah terbabit.

Menurutnya, dia mendapati ada pengguna terlalu 'kasar' dalam menegur sehingga mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak enak.

"Sebenarnya, bukan saya sahaja yang ada mengikuti live usahawan dan menegur mereka, ramai lagi yang saya tengok bertindak menasihati dan menegur peniaga secara baik.

"Pada saya, peniaga pun manusia juga, kebanyakan mereka memang terima teguran, namun apabila diprovokasi, itu ada sehingga bergaduh antara peniaga dan pengguna," katanya.

Urusan jual beli tak jelas jadi haram

Bersubahat dalam urusan jual beli yang tidak jelas boleh menyebabkan hukumnya menjadi haram.

Demikian kata Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berhubung aktiviti jualan cedok-cedok yang menjadi trend di TikTok.

Dr Mohd Izhar Ariff berkata, urusan jual beli dalam Islam perlu jelas termasuk kuantiti, nilai, jenis barangnya serta akad kedua-dua pihak.

"Setiap barangan dijual perlu jelas apa yang hendak kita beli dan transaksi dijalankan kemudian berlakunya taradi iaitu reda antara peniaga dan pembeli.

"Dalam isu ini, jualan menggunakan kaedah cedok yang mana harganya tepat atau tetap, tetapi tidak dijelaskan berapa banyak dalam (setiap) cedok itu.

"Keduanya, barang hendak dijual itu ada pelbagai jenis atau tidak sama jenis yang boleh membawa kepada keraguan dan ketidakjelasan atau gharar.

"Jadi sebab itu ulama menegaskan setiap barangan kita hendak jual, pastikan jelas apa jenis barang itu, nilai dan jumlahnya serta reda," katanya.

Menurutnya, kaedah penjualan menggunakan konsep tidak jelas perlu diperbaiki kerana mempunyai unsur perjudian, sekali gus membawa kepada kekeliruan dan pertelingkahan atau pertikaian.

"Jualan meragukan boleh membawa kepada perbalahan... sekarang ini pun ada pertelingkahan apabila ada yang mempertikaikan mengapa ada jumlah barang itu sedikit atau banyak, hatta makanan pun masih perlu ditimbang walaupun pakai pencedok.

"Jika peniaga hendak beri hadiah atau bersedekah, mereka perlu menjelaskan juga kerana akad jual beli dan pemberian hadiah adalah berbeza dan tidak boleh dicampuradukkan. Pengguna perlu jelas apa hendak dibeli kerana bersubahat dalam jual beli adalah haram hukumnya haram," katanya.

Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, jual beli cedok-cedok dilihat mempunyai unsur yang diharamkan syarak seperti gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan menafikan hak khiyar (memilih) pembeli.

"Unsur gharar wujud dalam transaksi ini apabila berlakunya ketidakpastian terhadap kadar, nilai dan jenis barangan yang diterima oleh pembeli sebaik sahaja penjual mencedok barangan yang bercampur itu.

"Dalam hal ini, berlaku ketidakpastian tentang apakah barang yang akan diperoleh semasa akad jual beli.

"Jika diperhatikan transaksi jual beli ini ada mengandungi unsur perjudian di mana ada pihak untung dan ada pihak akan rugi. Sekiranya barangan yang dicedok nilainya rendah daripada harga dibayar pembeli, maka pembeli adalah pihak yang mengalami kerugian. Begitu juga sebaliknya," katanya.

Katanya, kaedah ini juga menafikan hak memilih pembeli apabila membeli barangan campuran dalam satu bekas mempunyai pelbagai saiz, harga berlainan dan sebagainya.

"Pembeli perlu membayar sebanyak harga sekian terlebih dahulu sebelum penjual mencedok barangan campuran itu secara siaran langsung. Terdapat kemungkinan pembeli akan dapat dan tidak dapat apa yang dimahukan.

"Seterusnya, apa yang dicedok itulah yang akan menjadi milik pembeli tanpa boleh memilih barangan dimahukan. Jual beli seperti ini mirip dengan gambaran jual beli munabazah dan mulamasah yang diharamkan oleh syarak.

"Oleh itu, jual beli cedok-cedok adalah haram di sisi syarak. Masyarakat dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam urusan jual beli seperti ini manakala peniaga pula hendaklah menggunakan kaedah jualan bebas dari unsur diharamkan syarak bagi memastikan keuntungan diperoleh halal," katanya mengulas isu itu dalam Irsyad al-Fatwa Siri ke-705: Hukum Jual Beli Cedok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 12:00 PM