Rahmat bimbang dengan khabar angin kenaikan harga beras SST. FOTO Zuhainy Zulkiff
Rahmat bimbang dengan khabar angin kenaikan harga beras SST. FOTO Zuhainy Zulkiff
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Peniaga di sekitar bandar raya ini dalam dilema apabila mendakwa hanya menerima beras putih import daripada pembekal berbanding beras super spesial tempatan (SST) sekali gus tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

Tinjauan di Pasar Awam Jalan Patani mendapati rata-rata peniaga mendakwa ramai pelanggan kecewa kerana gagal mendapatkan beras SST kerana harganya yang lebih murah berbanding beras import.

Seorang peniaga dikenali sebagai Pak Din, 60, berkata setiap minggu sebanyak 10 kampit beras SST lima kilogram dihantar pembekal ke premis perniagaannya yang dijual pada harga RM15 setiap satu.

Namun, sejak minggu lalu, pembekal menghantar 10 kampit beras putih import lima kilogram pada harga RM18.90 bagi setiap satu dan mendakwa mereka tiada bekalan beras SST.

"Pembeli tidak mahu beli beras ini (beras import) kerana lebih mahal malah ada yang mendakwa kami sengaja tidak mahu menjual beras SST.

"Sudah lebih 11 tahun saya berniaga kini mula terasa sukar justeru, saya berharap kerajaan dapat tangani masalah ini sebelum barangan lain pula mengalami isu serupa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Peniaga kedai runcit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin, A Rahmat Sentah, 60, pula berkata, dia bimbang selepas mendengar khabar angin mengenai kenaikan harga beras SST.

"Di sini, saya masih jual pada kadar harga biasa dan jika nanti mereka (pembekal) mahu naikkan harga, kami terpaksa jual pada harga baru.

"Majoriti pembeli adalah terdiri daripada golongan B40 dan berapa ringgit pula yang akan saya jual kepada mereka jika harga meningkat?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 3:43 PM