JAIR Bolsonaro. FOTO AFP
JAIR Bolsonaro. FOTO AFP
AFP

Brasilia: Pendedahan mengenai perbelanjaan rasmi kad kredit bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro, Jumaat lalu, mengejutkan dan menimbulkan tanda tanya.

Ia kerana AS$10,700 (kira-kira RM46,385) dibelanjakan di kedai roti dalam satu hari.

Penyata sama menunjukkan lebih AS$1,600 (kira-kira RM6,936) dibelanjakan di kedai aiskrim.

Menurut penyata akaun yang diterbitkan Jumaat di laman web kerajaan, lebih daripada 27.6 juta reais - lebih daripada AS$5 juta (kira-kira RM21 juta) pada kadar pertukaran hari ini - dicaj kepada kad presiden itu sepanjang tempoh empat tahun pemerintahannya.

Bolsonaro dan 21 ahli pasukannya mempunyai akses kepada kad itu.

Dilaraskan untuk inflasi, jumlah penuh yang dicaj pada kad adalah hampir separuh daripada yang dibelanjakan ketika tempoh empat tahun pertama Presiden Luiz Inacio Lula da Silva atau Lula yang bermula pada tahun 2003.

Bolsonaro sering mendakwa tidak menggunakan satu sen pun duit yang ada dalam kad itu.

Bagaimanapun, analisis rekod yang baru dibuka oleh laman web berita Uol mendapati lebih daripada AS$235,000 (kira-kira RM1.019 juta) dibelanjakan oleh Bolsonaro ketika bercuti pada 2019, 2020 dan 2021.

Hampir AS$14,000 (kira-kira RM60,690) dibelanjakan untuk sekali lawatan ke stesen minyak, dan AS$286,000 (kira-kira RM1.24 juta) lagi untuk beberapa lawatan ke hotel mewah di Guaruja, sebuah pusat peranginan tepi laut berhampiran Sao Paulo.

Menurut laman web G1, hotel itu menempatkan anggota rombongan Bolsonaro, sementara dia menginap di kompleks tentera.

Perbelanjaan makanan adalah antara item yang dibilkan paling menakjubkan.

Pada satu lawatan ke sebuah restoran di Boa Vista di negeri Roraima di Amazon, kad presiden digunakan untuk membayar bil lebih daripada AS$21,000 (kira-kira RM91,035).

Itu sudah memadai untuk tempahan 2,000 pinggan hidangan paling mahal di restoran: ayam panggang dengan kanji sampingan, yang berharga kurang daripada AS$10 (kira-kira RM43).

Kad itu juga digunakan untuk membelanjakan lebih AS$71,000 (kira-kira RM307,785) dalam tempoh empat tahun di sebuah kedai roti di Rio de Janeiro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 11:35 AM