Aswadi Alias

Kabul: Enam orang awam cedera dalam letupan bom tangan di sebuah masjid sejurus solat Zuhur pada hari ke-4 Ramadan membuatkan hati terdetik rasa bimbang apabila kaki menjejaki bumi Afghanistan.

Namun demi memenuhi amanah, tugasan terus dilakukan ketika mengikuti misi kemanusiaan di Afghanistan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia (MCM) pada 7 April lalu.

Pelajar Madrasah seronok bermain bola sebelum masuk waktu berbuka puasa. FOTO ASWADI ALIAS.
Pelajar Madrasah seronok bermain bola sebelum masuk waktu berbuka puasa. FOTO ASWADI ALIAS.

Walaupun kejadian letupan atau serangan ini berkurangan sejak kerajaan Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan.

Sebenarnya, penulis tidak pernah terlintas berada di negara daratan ini, yang melalui sejarah perjuangan dan pengorbanan panjang - negara yang menjadi medan pertempuran dan ujian persenjataan moden oleh kuasa besar dunia.

Penulis (kiri) bersama wartawan Harian Metro, Amir Abdul Hamid yang turut sama mengikuti Kembara Ramadan Afghan Muslim Care Malaysia (MCM).  FOTO ASWADI ALIAS.
Penulis (kiri) bersama wartawan Harian Metro, Amir Abdul Hamid yang turut sama mengikuti Kembara Ramadan Afghan Muslim Care Malaysia (MCM). FOTO ASWADI ALIAS.

Pengalaman berada di Afghanistan membuka mata penulis untuk menilai bagaimana kesengsaraan dan perjuangan rakyatnya akibat kerakusan barat yang mahu memonopoli pengaruh dan kuasa.

Penulis tiba di bandar Islam Qala (sempadan Afghanistan-Iran) pada 9 April lalu mengikuti misi kembara Ramadan Afghan atau Care4Afghan disertai 14 sukarelawan diketuai Presiden MCM Zulkifli Wahijan.

Kenderaan tiga roda seperti beca bermotor merupakan perkhidmatan yang popular dan murah namum turut terjejas ekoran sukar untuk mendapatkan penumpang di bandar Herat, Afghanistan. FOTO ASWADI ALIAS.
Kenderaan tiga roda seperti beca bermotor merupakan perkhidmatan yang popular dan murah namum turut terjejas ekoran sukar untuk mendapatkan penumpang di bandar Herat, Afghanistan. FOTO ASWADI ALIAS.

Saat memasuki negara itu, penulis melihat cabaran kehidupan dilalui rakyat Afghanistan yang baru tujuh bulan bebas daripada konflik perang susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS).

Tetapi kehadiran Ramadan pertama selepas 'bebas', rata-rata rakyat Afghanistan bersemangat membina semula kehidupan mereka daripada sisa-sisa peperangan yang dilalui sekian lama.

Peniaga Roti pipih atau naan-e-Afghani yang beroperasi dijalan dengan harga AF10 (RM0.46) sekeping di sekitar Bandar Kabul. FOTO ASWADI ALIAS.
Peniaga Roti pipih atau naan-e-Afghani yang beroperasi dijalan dengan harga AF10 (RM0.46) sekeping di sekitar Bandar Kabul. FOTO ASWADI ALIAS.

Ekonomi negara itu mula berkembang, tetapi tidak dinafikan segelintir warganya hidup mengemis kerana ketiadaan pekerjaan sehingga terpaksa menjual anak selain bergelar orang kurang upaya (OKU) angkara perang.

Misi kemanusiaan ini membuka mata dan kefahaman penulis - bagaimana untuk bangkit semula selepas hilang segalanya.

Jika luka di luar nampak berdarah, tiada siapa tahu luka di dalam - begitu kesengsaraan empat dekad bumi Afghanistan akibat konflik berdarah membabitkan Soviet Union (kini Rusia), Mujahiddin, Taliban dan AS.

Seorang lelaki menegur jurugambar agar tidak merakam gambar ditempat awam seperti pasar yang boleh menimbulkan rasa tidak senang orang ramai di Bandar Kabul. FOTO ASWADI ALIAS.
Seorang lelaki menegur jurugambar agar tidak merakam gambar ditempat awam seperti pasar yang boleh menimbulkan rasa tidak senang orang ramai di Bandar Kabul. FOTO ASWADI ALIAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 12:00 PM