Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, meninggal dunia, hari ini ini ketika dirawat di Hospital Dublin, Ireland.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, pemergian Allahyarham pada Ramadan yang mulia satu kehilangan besar kepada negara dan Perkhidmatan Awam.

"Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa yang kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022

bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.

"Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan

orang-orang yang beriman," katanya.

Mohd Zuki berkata, Ali yang juga anak jati Johor, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13 antara 2012 hingga 2018, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1981.

Ali pernah berkhidmat di pelbagai kementerian dan jabatan termasuk di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN),

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu, berita kematian Ali turut dikongsikan pelbagai pihak melalui media sosial.

Antara yang dilihat mengucapkan takziah termasuk Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Halimah berkata, beliau berharap keluarga Ali tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan itu.

"Semoga Allah SWT merahmati Allahyarham atas segala jasa bakti yang dicurahkan dan ditempatkan bersama syuhada, muttaqin dan orang-orang soleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 10:55 AM