ZUGANI (kanan) bersama isteri serta tiga daripada lima anak. FOTO ihsan keluarga
ZUGANI (kanan) bersama isteri serta tiga daripada lima anak. FOTO ihsan keluarga
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: "Arwah tidak mahu beli baju raya tahun ini kerana bercadang memakai semula baju Melayu sedia ada untuk menyambut Aidilfitri nanti," kata Rohaya Jusoh, 51, isteri kepada guru yang dihanyutkan arus di Pantai Kuala Baru.

Rohaya berkata, suaminya, Zugani Yasin, 51, guru Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh membuat keputusan itu kerana dia sudah memiliki hampir semua warna baju Melayu.

Katanya, persiapan raya untuk anak-anak juga sederhana kerana anak-anak lelaki juga bergilir memakai baju Melayu yang lama.

"Sebelum kejadian, arwah memaklumkan mahu keluar memukat ikan bersama rakannya kerana itu memang hobinya sejak dari dulu.

"Jika diikutkan beberapa hari sebelum puasa dia sudah keluar memukat ikan bersama beberapa rakan dan mendapat hasil tangkapan yang banyak.

"Hasil laut segar itu kemudiannya diagih-agihkan kepada kenalannya," katanya.

Dia berkata, Zugani juga pernah meluahkan hasrat mahu meletak jawatan sebagai guru penolong kanan Kokurikulum dan sekadar mahu menjadi guru biasa.

"Dia mahu fokus kepada kelas tuisyen Matematik Tambahan yang dikendalikannya kerana terlalu meminati subjek itu," katanya.

Rohaya berkata, rakan setugas arwah memberitahu arwah pernah bergurau mahu berkahwin dengan bidadari sebelum kejadian.

"Mungkin ini (meninggal di bulan Ramadan) yang dimaksudkan arwah. Kami redha pemergiannya di bulan mulia.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bahagia petang ini," katanya.

Zugani dihanyutkan arus ketika memukat ikan di Pantai Kuala Baru, semalam dan mayatnya ditemukan 12.22 tengah malam tadi kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Berita berkaitan:

  • Guru tenggelam dihanyutkan arus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 11:05 AM