Zaidy Che Hassan (kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Mohamad Sani Mat Ali menujukkan cincin serta baju T milik lelaki yang mayatnya ditemukan terapung dalam Sungai Semeling, Kampung Sungai Batu Besi, Jumaat lalu.FOTO IZAD THAQIF HASSAN.
Zaidy Che Hassan (kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Mohamad Sani Mat Ali menujukkan cincin serta baju T milik lelaki yang mayatnya ditemukan terapung dalam Sungai Semeling, Kampung Sungai Batu Besi, Jumaat lalu.FOTO IZAD THAQIF HASSAN.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Sebentuk cincin tertera tulisan 'Wana Love Wan' di jari tangan kiri menjadi antara petunjuk untuk polis mengesan identiti seorang lelaki yang mayatnya ditemukan terapung dalam Sungai Semeling, Kampung Sungai Batu Besi, dekat sini Jumaat lalu.

Selain cincin, polis turut menemui petunjuk lain iaitu baju T lengan pendek merah bersaiz L dengan bahagian kolar serta lengan kelabu bertulis "T Me Up'.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan lanjut pihaknya mendapati mangsa mempunyai ketinggian 163 sentimeter dengan berat 52 kilogram selain dianggarkan berusia 30 hingga 40-an.

"Setakat ini, kita sudah membuat pemeriksaan serta menyemak sama ada terdapat laporan polis dibuat di negeri ini berhubung kes kehilangan ahli keluarga.

"Bagaimanapun, semakan dan pemeriksaan mendapati tiada mana-mana waris tampil membuat laporan berhubung kehilangan individu yan g mempunyai ciri-ciri seperti ditemui pada mayat terbabit," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Mayat lelaki terbabit ditemukan pada 9.30 pagi oleh dua lelaki yang sedang memukat ikan sebelum mereka menghubungi polis memaklumkan kejadian.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat lelaki itu dalam keadaan tangan serta kaki diikat manakala kepala sehingga pinggang diserkup guni.

Laporan bedah siasat mendapati terdapat kesan cedera dipercayai akibat dipukul pada muka dan kepala mangsa.

Zaidy berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 019-4186118 atau di talian 04-4299222.

Berita berkaitan:

  • Kesan pukul di muka, kepala ditemukan pada mayat
  • Mayat terikat disumbat dalam guni
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 3:13 PM