Jasad Zugani Yasin dibawa naik ke daratan selepas ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian di Pantai Kuala Baru, Mangkuk, Setiu. FOTO IHSAN Pembaca
Jasad Zugani Yasin dibawa naik ke daratan selepas ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian di Pantai Kuala Baru, Mangkuk, Setiu. FOTO IHSAN Pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Mayat Zugani Yasin yang dihanyutkan arus di Pantai Kuala Baru, Mangkuk, di sini, akhirnya ditemukan pada 12.22 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat mangsa dilaporkan tenggelam.

"Jasad mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan daripada Skuad Prihatin Terengganu dan masyarakat setempat.

"Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Daerah Setiu untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua BBP Setiu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Razli Rapiae berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 12.50 tengah malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Zugani, 51, guru penolong kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di Pantai Kuala Baru, Mangkuk.

Mangsa melakukan aktiviti memukat ikan berkenaan bersama 15 rakan. Kumpulan itu memilih lokasi kejadian untuk melabuhkan pukat dan apabila waktu menaikkan pukat, saksi menyatakan 11 individu turun menarik pukat.

Manakala mangsa bersama tiga lagi rakan hanya berjalan di kawasan berkenaan kerana air sedang surut.

Afandi berkata, walau bagaimanapun, tanpa disedari mangsa termasuk laluan air dalam dan terus tenggelam dihanyutkan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 10:15 AM